Skip to main content

Malaysia

Janji: Kisah sebuah pengorbanan dan makna kemerdekaan

JANJI : TV Commercial (TVC) Khas Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2026.
TVC khas Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 itu membawa mesej bahawa kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah yang diwarisi, sebaliknya satu amanah yang perlu dihargai dan diteruskan oleh setiap generasi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah TV Commercial (TVC) khas berjudul Janji, yang mengangkat kisah kekeluargaan, pengorbanan serta makna sebenar kemerdekaan.

TVC terbitan Bahagian Berita Ehwal Semasa, RTM itu menampilkan bakat pelakon Amalina Arham sebagai watak kakak dan Rafique Iskandar sebagai adik, seorang individu orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Janji berkisar tentang sebuah janji seorang kakak untuk menunaikan impian adiknya, yang ingin menjejaki sendiri lokasi-lokasi bersejarah dan menghayati makna perjuangan yang membawa kepada kemerdekaan negara.

Kisah tersebut membawa penonton menyelami hubungan erat antara dua beradik, selain mengetengahkan nilai kasih sayang, pengorbanan dan semangat untuk menghargai perjuangan generasi terdahulu.

Penggambaran TVC berkenaan dilakukan di beberapa lokasi bersejarah, bermula di Melaka, yang mempunyai kaitan dengan sejarah perjuangan dan kemerdekaan negara, sebelum diteruskan di sekitar Kuala Lumpur termasuk Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka.
 

Image
JANJI : TV Commercial (TVC) Khas Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2026.


Pemilihan lokasi bersejarah itu menjadi latar penting dalam perjalanan kedua-dua watak, sekali gus menghubungkan kisah peribadi mereka dengan sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Turut mencuri perhatian ialah penampilan istimewa atau cameo empat pempengaruh terkenal iaitu Md Nor, Sir Fathi, Vain Liew dan Kai Deva, selain penyampai berita RTM, Daryl Baptist.

Menerusi pendekatan penceritaan yang menyentuh emosi, Janji bukan sekadar mengetengahkan kisah sebuah keluarga, malah mengajak masyarakat menghayati erti kemerdekaan daripada perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan.

TVC khas Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 itu membawa mesej bahawa kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah yang diwarisi, sebaliknya satu amanah yang perlu dihargai dan diteruskan oleh setiap generasi.

“Merdeka bukan sekadar cerita sejarah, tetapi adalah janji yang diwarisi.”

TVC Janji diterbitkan oleh Bahagian Berita Ehwal Semasa, RTM sebagai sebahagian daripada pengisian khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Must Watch Video

Advertisement