SELAMA ini, kejayaan sering diukur dengan kekayaan, kemajuan kerjaya serta pencapaian profesional.
Namun, pakar kesihatan dan prestasi mengingatkan bahawa kejayaan yang dicapai tanpa penjagaan kesihatan boleh membawa kesan jangka panjang yang serius.
Waktu bekerja yang panjang, perjalanan kerja yang kerap, tekanan berterusan serta kurang masa untuk berehat dan pulih dikenal pasti sebagai antara faktor yang semakin menyumbang kepada masalah kesihatan dalam kalangan profesional, usahawan dan pemimpin perniagaan.
Pakar Transformasi, Perunding Prestasi Tinggi dan pengasas Badcave Training Facility, Murad Zaidi atau lebih dikenali sebagai “Baddest Coach”, berkata ramai individu yang ditemuinya berjaya dari segi kerjaya dan kewangan, namun berdepan cabaran kesihatan yang semakin merosot.
“Ironinya, sebahagian daripada individu paling berjaya di negara ini juga merupakan antara mereka yang paling keletihan dari sudut fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Murad, yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang prestasi tinggi berpandangan definisi kejayaan yang diamalkan kebanyakan individu masih kurang memberi perhatian terhadap aspek kesihatan jangka panjang dan prestasi yang mampan.
Menurutnya, ramai pemilik perniagaan hanya memperoleh empat hingga lima jam tidur sehari, bergantung kepada kafein untuk mengekalkan produktiviti, tidak mengamalkan pemakanan teratur serta hidup dalam tekanan yang berpanjangan.
“Mereka mungkin mencapai kejayaan dari segi kewangan, tetapi tubuh badan mereka sebenarnya sedang beroperasi menggunakan ‘masa pinjaman’,” ujarnya.
Dia yang berpengalaman lebih 18 tahun membimbing usahawan, eksekutif serta pelanggan transformasi, menambah tanda-tanda awal kemerosotan kesihatan sering dipandang ringan kerana ia berlaku secara beransur-ansur.
Antaranya termasuk pertambahan berat badan, penurunan tahap tenaga, kualiti tidur yang merosot, tempoh pemulihan badan yang lebih lama, kehilangan motivasi serta kebergantungan kepada bahan perangsang.
“Ramai menganggap keadaan ini sebagai perkara biasa dalam kehidupan yang sibuk. Hakikatnya, tubuh badan akan menanggung kesan daripada pengabaian yang berlarutan,” katanya.
Murad turut menegaskan bahawa perbincangan mengenai kesihatan perlu beralih daripada fokus terhadap penampilan fizikal semata-mata kepada keupayaan mengekalkan prestasi dan kualiti hidup dalam jangka panjang.
“Bagi kebanyakan golongan profesional, matlamat mereka bukan lagi untuk memiliki tubuh yang sempurna. Apa yang lebih penting ialah mempunyai tenaga untuk memimpin organisasi, membuat keputusan, kekal produktif dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Itulah definisi sebenar prestasi,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan pencegahan perlu diberikan keutamaan berbanding hanya bertindak selepas masalah kesihatan berlaku.
“Masa terbaik untuk menjaga kesihatan adalah sebelum seseorang jatuh sakit. Namun, kebanyakan individu hanya mula mengambil berat selepas menerima diagnosis atau mengalami insiden kesihatan yang membimbangkan,” katanya.
Menurut Murad, ramai pemimpin perniagaan sanggup melabur dalam pembangunan syarikat, tenaga kerja dan kemahiran profesional, tetapi didakwa sering mengabaikan aset paling penting iaitu kesihatan diri sendiri.
“Apabila kesihatan mula merosot, segala-galanya akan terjejas. Perniagaan, hubungan peribadi dan kualiti hidup semuanya menerima kesan.
“Kesihatan bukan sesuatu yang terpisah daripada kejayaan, sebaliknya menjadi asas yang menyokong kejayaan itu sendiri,” katanya.
Murad berkata kejayaan sebenar bukan sekadar mencapai prestasi tinggi dalam tempoh singkat, sebaliknya kemampuan mengekalkannya untuk jangka masa panjang.
Dalam keadaan Malaysia terus berdepan peningkatan penyakit berkaitan gaya hidup, pakar menjangkakan aspek pemulihan badan, kualiti tidur, pengurusan tekanan dan langkah pencegahan kesihatan akan menjadi semakin penting pada masa hadapan.
Pemerhati industri pula melihat peningkatan minat terhadap kesihatan eksekutif, umur panjang dan prestasi mampan sebagai petunjuk perubahan dalam cara kejayaan ditakrifkan oleh pemimpin perniagaan masa kini.