SERDANG: MySihat Expo 2026 menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dan lebih 600 jenama serta pempamer dalam usaha menjadikannya festival kesihatan, kesejahteraan, sukan dan gaya hidup terbesar di Malaysia.
Festival yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MAEPS), Serdang dari 9 hingga 11 Oktober 2026 itu menghimpunkan empat acara utama dalam satu platform bersepadu, termasuk MySihat Expo, HUNTR Games Kuala Lumpur, FragMania dan Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Dengan keluasan pameran melebihi 170,500 kaki persegi, penganjuran tersebut menggabungkan pelbagai elemen termasuk kesihatan, kecergasan, pemakanan, seni budaya, warisan, wangian, hiburan dan gaya hidup moden menerusi pengalaman interaktif untuk orang ramai.
Menurut penganjur, konsep festival itu diperkenalkan bagi mentransformasikan format ekspo tradisional kepada platform yang membolehkan pengunjung belajar, mencuba, berinteraksi dan mengalami sendiri pelbagai aspek berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.
MySihat Expo sebagai komponen utama bakal menghimpunkan hospital, pusat perubatan, klinik serta pemain industri kesihatan, nutrisi, kesejahteraan dan teknologi.
Pengunjung turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, mendapatkan konsultasi bersama pakar perubatan serta menyertai forum, ceramah dan bengkel berkaitan gaya hidup sihat.
Sementara itu, HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 dijangka menjadi antara pertandingan perlumbaan kecergasan terbesar di rantau ini dengan penyertaan lebih 8,000 atlet dan peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina serta Korea Selatan.
Kuala Lumpur turut dipilih sebagai lokasi pusingan kelayakan rasmi ke HUNTR Games World Championships 2027, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam kalendar sukan antarabangsa.
Bagi peminat industri wangian, FragMania menawarkan peluang untuk mencuba pelbagai koleksi haruman tempatan dan antarabangsa, selain mengikuti pelancaran produk baharu, demonstrasi dan sesi perkongsian bersama pemain industri.
Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta pula kembali selepas penganjuran sulung pada 2025 dengan mengetengahkan pilihan makanan lebih sihat dan seimbang. Festival itu akan berlangsung selama empat hari bermula 8 Oktober 2026, menampilkan demonstrasi masakan, perkongsian pemakanan sihat, aktiviti komuniti, podcast serta pelbagai program mesra keluarga.
Penganjur berkata, penganjuran MySihat Expo diwujudkan bagi membentuk ekosistem yang menghubungkan masyarakat dengan sektor kesihatan, kesejahteraan, sukan dan gaya hidup melalui pendekatan yang lebih inklusif serta mudah diakses.
"Kesihatan perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup. Melalui gabungan empat acara utama dalam satu platform, pengunjung dapat menikmati pengalaman menyeluruh daripada pemeriksaan kesihatan dan pertandingan sukan hingga kepada pilihan makanan sihat, dunia wangian serta aktiviti komuniti bersama keluarga," menurut penganjur.
Selain orang ramai, festival itu turut membuka peluang kepada hospital, syarikat farmaseutikal, pengeluar makanan, jenama kesejahteraan dan kecergasan, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta syarikat korporat untuk menyertai acara berkenaan sebagai pempamer, penaja atau rakan strategik.
Dengan sasaran lebih 100,000 pengunjung dan lebih 600 jenama, MySihat Expo 2026 dijangka menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran festival kesihatan dan gaya hidup di Malaysia serta Asia Tenggara.