Skip to main content

Malaysia

Perkahwinan di perlis turun 10 peratus, usia berkahwin meningkat

41625036693_nikahkahwinkawin.jpg
Umur purata perkahwinan lelaki dan perempuan meningkat masing-masing 32.2 tahun dan 30 tahun pada 2023 berbanding 30.8 tahun dan 28.4 tahun pada 2020. - Gambar hiasan
Advertisement

ARAU: Corak pembentukan keluarga di Perlis mengalami perubahan apabila bilangan perkahwinan berdaftar di negeri itu menurun sebanyak 10 peratus iaitu daripada 1,982 yang direkodkan pada 2020 kepada 1,783 pada 2023.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Adzmel Mahmud berkata umur purata perkahwinan lelaki dan perempuan meningkat masing-masing 32.2 tahun dan 30 tahun pada 2023 berbanding 30.8 tahun dan 28.4 tahun pada 2020.

Beliau berkata perkahwinan semakin lewat boleh menangguhkan pembentukan keluarga dan kelahiran anak sekali gus mempengaruhi saiz keluarga, kadar kelahiran, bekalan tenaga kerja dan keseimbangan antara penduduk muda dengan warga emas dalam tempoh jangka panjang.

"Perubahan ini bukan bermakna golongan muda menolak perkahwinan sebaliknya dipengaruhi faktor seperti kestabilan pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup, perumahan dan tahap kesiapsiagaan untuk berkeluarga,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Perlis 2026 bersempena dengan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Adzmel berkata perancangan kependudukan perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi melalui pewujudan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, penyediaan perumahan mampu milik dan persekitaran mesra keluarga.

"Langkah ini penting untuk mengekalkan golongan muda agar terus melihat Perlis sebagai tempat terbaik untuk belajar, bekerja, membina keluarga dan membesarkan anak-anak dan memastikan pembangunan negeri lebih seimbang serta mampan," katanya.

Beliau berkata kekuatan Perlis dalam sektor pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian, agromakanan, pelancongan dan perdagangan sempadan perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, keusahawanan dan inovasi kepada generasi muda.

Adzmel berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh ekosistem sokongan keluarga melalui Dasar KASIH Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026-2030.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada pemartabatan perkahwinan, pengukuhan daya tahan keluarga, peningkatan kualiti keibubapaan dan sokongan pada setiap peringkat kehidupan.

Sementara itu, Adzmel berkata berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2025, kira-kira 72 peratus daripada 300,200 penduduk Perlis berada dalam kumpulan umur bekerja iaitu melibatkan sebanyak 216,000 orang.

"Kira-kira 8.6 peratus atau 25,800 penduduk pula berumur 65 tahun dan ke atas. Keadaan ini menunjukkan Perlis masih mempunyai potensi tenaga kerja yang besar, namun perlu bersedia menghadapi peningkatan warga emas serta keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan, penjagaan dan perlindungan sosial," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement