KUALA LUMPUR: Pasukan koir, The Voice of Crescendo (The VOC Choir) mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih emas di pertandingan koir antarabangsa, Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) - International Choir Festival (ICF) 2026 yang berlangsung pada 19-23 Ogos.
The VOC Choir yang juga mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail dibarisi 30 murid berusia 13 hingga 17 tahun, berjaya meraih emas kategori A3 Teenage dengan markah 87.08.
Lebih membanggakan apabila pasukan ini dilihat semakin gah menempa nama di persada antarabangsa selepas turut meraih emas dengan markah 84.75 dalam kategori sama di MCE tahun lalu.
Dipimpin konduktor yang juga Ketua Panitia Pendidikan Muzik SMK TTDI, Mohamad Firas Rus Bakarurraini, The VOC Choir berjaya memukau juri dengan lantunan dua gubahan lagu, Cikala Leng Pong Pong dan Dance the Night yang juga hit popular bagi filem ‘Barbie’.
“Pencapaian meraih emas tahun ini merupakan satu peningkatan yang sangat bermakna buat The VOC Choir dengan catatan markah lebih baik.
“Sebagai seorang guru dan konduktor saya amat berbangga dengan usaha, disiplin dan komitmen semua ahli koir sepanjang proses persediaan.
“Pencapaian ini bukan sekadar tentang medal atau gred, tetapi tentang sejauh mana anak-anak ini berkembang dari segi musikaliti, disiplin dan keyakinan,” katanya.
Dikenali dengan panggilan Cikgu Firas, beliau menekankan sangat berbangga dengan usaha murid dan perjalanan yang telah dilalui bersama sejak pasukan The VOC Choir ditubuhkan pada 2023.
“Kami akan terus berusaha untuk mencapai keputusan yg lebih baik pada tahun hadapan demi negara dan nama sekolah khususnya,” tegasnya.
Penganjuran MCE- ICF 2026 menghimpunkan khidmat juri terbaik seluruh dunia antaranya Malaysia, Sepanyol, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom, Singapura, Itali, Denmark, Belgium dan Filipina.
Selain Malaysia, MCE – ICF 2026 yang diadakan serentak di tiga venue di Kuala Lumpur; Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail disertai 200 pasukan koir.