Skip to main content

Malaysia

Royal Selangor-MING perkenal jam tangan edisi terhad, tampil seni ketukangan piuter Malaysia

royal selangor_ming
--fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Royal Selangor dan tukang jam artisan MING memperkenalkan MING 37.06 Royal Selangor, jam tangan edisi terhad yang hanya dihasilkan 88 utas, menggabungkan seni ketukangan piuter ukiran Malaysia dengan sarung titanium gred-2.

Jam tangan itu menampilkan muka jam diperbuat daripada piuter yang dihasilkan di Kuala Lumpur, menandakan kali pertama MING menggunakan piuter sebagai bahan bagi muka jamnya.

Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li berkata kerjasama itu adalah hasil pembangunan selama bertahun-tahun bagi memastikan produk akhir mencerminkan mutu kerja yang terbaik.

“Ia adalah jam tangan yang dihasilkan oleh MING, tetapi menggunakan beberapa komponen piuter kami di dalamnya. Perbincangan yang bermula sebelum pandemik COVID-19 telah mengambil masa hampir enam tahun untuk direalisasikan. Bukan kerana ia sukar untuk dihasilkan, tetapi kami hanya mahu melakukannya dengan penuh kesempurnaan,” katanya pada majlis pelancaran jam tangan tersebut, di sini, semalam.

Yong berkata setiap jam itu didatangkan dengan kotak jam tangan piuter dengan kehalusan seni ketukangan yang bermutu tinggi.

“Kami terpaksa mengimbas lekuk-lekuk kecil ini, dan mengecilkannya, dan kemudian memprosesnya dengan sangat berhati-hati kepada ketebalan dan diameter yang sangat spesifik, supaya tukang jam di MING dapat menggabungkannya,” katanya.

Sementara itu, pengasas MING, Ming Thein, menyifatkan jam tangan itu sebagai kerjasama yang dibina atas dasar persahabatan, dengan projek itu berkembang daripada membincangkan pelbagai hasil yang berpotensi kepada memilih piuter untuk muka jam. 

Image
royal selangor_ming
--fotoBERNAMA

“Kami memutuskan untuk memilih muka jam dan memandangkan kepakaran Royal Selangor dalam hasil ketukangan yang diketuk dengan tangan, sudah tentunya saya mahu mempunyai corak ukiran pada muka jam.

“Selain itu, saya rasa jam tangan ini juga merupakan kali pertama pemasangan jam tangan dilakukan di Kuala Lumpur… kami sangat berbangga untuk mengatakan bahawa walaupun komponennya dari Switzerland kecuali muka jam, semuanya dipasang di Kuala Lumpur, yang saya fikir memberikan kami sedikit sentuhan tempatan,” katanya. 

Berharga 5,000 Franc Switzerland (CHF) atau kira-kira RM25,109.83 tidak termasuk cukai, jam tangan itu didatangkan dengan tali kulit kambing Jean Rousseau berwarna biru-kelabu dan kotak piuter tempaan.

Jam tangan berkenaan boleh didapatkan di butik Royal Selangor mulai hari ini, manakala jualan dalam talian melalui laman web MING akan bermula pada 6 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement