KESUSASTERAAN Melayu pernah menjadi nadi kepada pembentukan tamadun bangsa. Daripada pantun, syair, gurindam hinggalah novel dan cerpen serta sastera moden, sastera Melayu bukan sekadar medium hiburan, malah menjadi wadah ilmu, ruang pemikiran, penghayatan falsafah dan pembinaan jati diri masyarakat.
Menurut Hashim Awang, sastera ialah “ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa”. Ini menunjukkan bahawa karya sastera bukan sekadar tulisan biasa tetapi karya yang mengandungi unsur seni, imaginasi dan pemikiran yang mendalam. Namun hari ini, muncul persoalan yang semakin membimbangkan, iaitu adakah sastera Melayu masih relevan atau sedang menuju ke alam barzakh?
Kebimbangan ini bukan sekadar retorik emosional. Hakikatnya minat masyarakat terhadap sastera Melayu semakin merosot, khususnya dalam kalangan generasi muda. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang baru menamatkan pestanya menyaksikan anak dunia hari ini memandang sepi aliran buku sastera Melayu.
Mereka lebih gemar membeli (membaca belum pasti) buku-buku popular seperti komik, novel cinta akhir zaman dan kisah jenayah bawah tanah. Peredaran dunia digital yang bergerak pantas pula telah mengubah budaya membaca menjadi budaya menatal skrin.
Generasi hari ini lebih akrab dengan video pendek, kandungan media sosial dan hiburan segera berbanding menatap novel klasik atau karya agung Melayu. Siapakah dalam kalangan anak muda pada hari ini yang masih menekuni Hikayat Hang Tuah atau Sulalatus Salatin?
Menurut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), rakyat Malaysia membaca purata 24 naskhah buku setahun, meningkat berbanding 15 naskhah pada tahun 2014 (ceritabuku.com, 2024). Namun begitu, peningkatan angka tersebut tidak semestinya menunjukkan perkembangan positif terhadap pembacaan karya sastera Melayu. Sebahagian besar bahan yang dibaca lebih tertumpu kepada bahan digital, maklumat ringkas dan kandungan popular yang bersifat segera.
Fenomena ini menunjukkan bahawa budaya membaca karya sastera semakin terhakis. Pembacaan karya sastera memerlukan renungan, penghayatan bahasa dan pemikiran kritis, sedangkan media sosial membentuk budaya bacaan pantas dan singkat. Kajian tentang tabiat membaca generasi digital di Malaysia juga mendapati golongan muda lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca kandungan di media sosial berbanding bahan ilmiah atau kesusasteraan (EA Journals, 8 Oktober 2019).
Lebih membimbangkan, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang sebelum ini diajar di sekolah semakin kurang mendapat perhatian. Kajian akademik oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyatakan bahawa pelajar kurang berminat mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu kerana dianggap sukar dan kurang menarik (eJournal UPSI, 10 November 2013). Keadaan ini memberi gambaran bahawa sastera Melayu gagal dipersembahkan sebagai bidang yang relevan dan dekat dengan kehidupan generasi baharu.
Dalam dunia pendidikan hari ini, kejayaan sering diukur berdasarkan kebolehpasaran pekerjaan dan penguasaan teknologi. Akibatnya, bidang sastera dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Ramai pelajar memilih aliran sains, teknologi dan perniagaan kerana dianggap lebih menjamin masa depan dalam sektor pekerjaan.
Sastera pula dilihat sekadar subjek sampingan yang tidak penting dalam dunia moden apatah lagi apabila subjek Technical and Vocational Education and Training (TVET) atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional semakin diberi penekanan.
Persepsi ini amat berbahaya. Apabila masyarakat mula memandang rendah terhadap sastera, sebenarnya masyarakat sedang menjauhkan diri daripada nilai kemanusiaan dan pemikiran mendalam. Sastera membentuk empati, adab, identiti budaya dan keupayaan memahami kehidupan secara lebih halus. Bangsa yang kehilangan sastera ialah bangsa yang perlahan-lahan kehilangan jiwa dan raga.
Hal ini dicabar pula oleh industri penerbitan sastera Melayu yang berdepan dengan cabaran yang lebih besar. Kemajuan teknologi telah mengubah landskap penerbitan buku secara drastik. Kajian Universiti Malaya mendapati perkembangan teknologi dan penjualan buku secara dalam talian menyebabkan industri penerbitan perlu bersaing dengan pelbagai bentuk medium hiburan digital lain (Jurnal Pengajian Media Malaysia, 1 Disember 2016). Akibatnya karya sastera semakin sukar menembusi pasaran arus perdana.
Situasi ini turut disuarakan oleh komuniti pembaca sendiri. Maklumat di platform bincang dan sembang dalam komuniti talian global seperti forum, media sosial dan pengagregat berita (Reddit), menyatakan bahawa sesetengah pembaca mengeluh kerana sukar mendapatkan karya sastera Melayu berkualiti di kedai buku tempatan. Kedai buku lebih banyak memasarkan novel popular dan bahan bacaan ringan yang cepat terjual berbanding karya sastera yang memerlukan penghayatan intelektual. Hal ini secara tidak langsung melemahkan ekosistem sastera Melayu.
Namun begitu, mengatakan sastera Melayu semakin nazak atau sudah nyawa-nyawa ikan, mungkin agak keterlaluan. Hakikatnya sastera Melayu sedang berada dalam fasa perubahan yang mencabar. Media sosial yang sering dipersalahkan sebenarnya juga membuka ruang baharu kepada perkembangan sastera. Kini muncul komuniti BookTok, puisi siber, cerpen dalam talian dan kandungan kreatif berasaskan bahasa Melayu yang berjaya menarik minat anak muda (Sinar Harian, 2 Jun 2025).
Persoalannya bukan sama ada generasi muda tidak mahu membaca sastera Melayu, tetapi bagaimana sastera Melayu dipersembahkan kepada mereka. Jika sastera terus diajar secara kaku, terlalu berorientasikan peperiksaan dan gagal dikaitkan dengan realiti semasa, maka minat terhadapnya akan terus merosot. Sebaliknya jika karya sastera dihidupkan melalui filem, animasi, teater, medium digital, podcast dan media sosial, kemungkinan besar sastera Melayu mampu kembali relevan, malar segar dan diminati generasi sekarang.
Tokoh-tokoh besar seperti Usman Awang, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad pernah membuktikan bahawa sastera mampu menjadi suara rakyat dan cerminan zaman. Karya mereka bukan sahaja indah dari sudut bahasa, malah tajam dari sudut pemikiran sosial dan kemanusiaan. Adaptasi karya-karya Sasterawan Negara ke layar perak atau di kaca TV atau di pentas teater setidak-tidaknya mengurangkan ketenatan naskhah agung kesusasteraan Melayu daripada terus terpinggir.
Persoalannya adakah masyarakat pada hari ini masih bersedia mendengar suara sastera? Sastera Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai tinggalan masa lampau atau bahan nostalgia budaya dan simpanan arkeologi semata-mata. Mungkin benar sastera Melayu sedang tenat.
Namun selagi masih ada penulis, pembaca, guru dan masyarakat yang percaya pada kekuatan kata-kata, sastera Melayu belum benar-benar mati. Yang paling membimbangkan bukan kematian sastera itu sendiri tetapi kematian minat manusia terhadap ilmu, renungan dan kemanusiaan (eJournal UPSI, 13 Nov. 2013).
Sastera Melayu ialah khazanah intelektual bangsa yang perlu dipertahankan dalam menghadapi arus globalisasi dan budaya digital. Jika generasi hari ini gagal menghargai sastera, kita bukan sahaja kehilangan karya-karya agung tetapi juga kehilangan akar budaya, kesantunan bahasa dan daya fikir yang membina peradaban.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.