DALAM penulisan pertama , Mohamad Suhaib Ar Rumi Mohamad berkongsi bagaimana dia membesar dalam sebuah dunia yang pada zahirnya tampak tersusun dan penuh disiplin. Hidupnya diatur dengan rutin ibadah, ketaatan dan kepercayaan terhadap sebuah sistem yang ketika itu dilihat sebagai memperjuangkan agama dan ekonomi umat.
Namun seiring pertambahan usia, satu demi satu perubahan mula terserlah.
Naratif yang dahulu diyakini mula berubah nada. Kepimpinan berganti wajah. Dan perlahan-lahan, sesuatu yang suatu ketika dahulu terasa biasa… mula kelihatan asing.
Namun, di sebalik kisah peribadi itu, timbul satu persoalan yang jauh lebih besar dan jauh lebih sukar dijawab:
“Jika tanda-tanda sudah lama wujud… mengapa tindakan hanya muncul kemudian?".
155 ajaran difatwa sesat setakat ini
Fenomena ajaran yang menyimpang bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Sejak tahun 1950, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merekodkan sekurang-kurangnya 155 ajaran yang difatwakan sebagai sesat. Sebahagian besarnya melibatkan masyarakat Melayu. Namun, akar fenomena ini sebenarnya jauh lebih awal.
Antara yang terawal ialah ajaran Ahmad Matahari yang memperkenalkan ajaran Taslim di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar akhir abad ke-19. Memasuki tahun 1930-an, muncul pula ajaran Qadiani atau Ahmadiyah di beberapa kawasan di Selangor seperti Jeram, Sungai Tua, Sungai Buloh dan Kampung Nakhoda - semuanya dikatakan menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Era 1950-an menyaksikan kemunculan ajaran Subud dan Martabat Tujuh di Kelantan.
Ajaran-ajaran ini akhirnya tersebar ke hampir seluruh negara, sebelum pengaruhnya beransur-ansur melemah. Sekurang-kurangnya pada zahirnya. Namun sejarah menunjukkan, fenomena ini tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya berubah bentuk mengikut zaman.
“Mereka hidup dalam dunia mereka sendiri”
Bagi mereka yang pernah terlibat secara langsung dengan program pemulihan kes ekstremisme agama, corak ini bukan sesuatu yang asing. Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Johor, Muhammad Ammar Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ammar pernah beberapa kali memasuki Penjara Simpang Renggam untuk sesi pemulihan. Daripada pengalaman itu, satu pola jelas berulang.
Individu yang terlibat lazimnya hidup dalam ruang sosial yang sangat terhad - terpisah daripada masyarakat luar.
“Mereka ini golongan yang tidak bercampur dengan masyarakat luar… mereka duduk dalam satu kelompok tertutup," katanya.
Keterasingan itu bukan sekadar fizikal. Ia turut melibatkan maklumat, pemikiran dan cara melihat dunia luar. Beliau merujuk kepada kes di Ulu Tiram pada 17 Mei 2024 - satu episod yang membuka semula perbincangan tentang pengaruh ideologi ekstremis dalam masyarakat.
Namun untuk memahami insiden tersebut, latar organisasi yang terlibat tidak boleh diabaikan. Jemaah Islamiyah (JI) bukan sekadar kumpulan kecil. Ditubuhkan pada awal 1990-an, ia membawa ideologi pembentukan “negara Islam” yang merentasi sempadan Asia Tenggara meliputi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei hingga ke selatan Filipina.
Berakar daripada jaringan militan serantau dan dikaitkan dengan al-Qaeda, organisasi ini diasaskan oleh Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar.
Nama JI mula dikenali dunia selepas serangan pengeboman Bali 2002 - tragedi yang meragut 202 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain. Walaupun pengaruh fizikalnya semakin melemah hasil tindakan penguatkuasaan, ideologi yang dibawanya tidak pernah benar-benar lenyap. Hakikat itu kembali terserlah dalam perkembangan kes Ulu Tiram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang wanita berusia 61 tahun selepas mengaku bersalah gagal memberikan maklumat berkaitan ideologi keganasan. Dalam masa sama, dua anak perempuannya dilepas dan dibebaskan.
Namun, di sebalik keputusan mahkamah itu, satu realiti lain menjadi perhatian.
Anak-anak tersebut dibesarkan dalam keadaan yang sangat terhad - tanpa pendedahan kepada dunia luar.
“Saya difahamkan mereka langsung tidak pernah bersekolah… jadi kita perlu beri pendidikan formal kepada mereka,” kata Ammar.
Baginya, usaha pemulihan tidak boleh terhenti pada aspek undang-undang semata-mata. Ia perlu membuka ruang untuk individu ini membina kehidupan yang lebih luas, di luar sistem yang membatasi mereka selama ini.
“Pada mereka, itu perjuangan jihad”
Satu lagi cabaran utama, menurut Ammar, ialah persepsi.
Bagi sebahagian individu yang terlibat, tindakan mereka tidak pernah dilihat sebagai kesalahan. Sebaliknya, ia dianggap satu bentuk perjuangan.
“Mereka rasa tindakan mereka itu jihad… satu yang betul bagi mereka," katanya.
Di sinilah letaknya kesukaran paling besar. Walaupun penjelasan telah diberikan oleh institusi agama, majlis fatwa dan pihak berkuasa, namun cabarannya ialah perubahan pemikiran tidak berlaku serta-merta.
Kerana apabila sesuatu kepercayaan dibina terlalu lama dalam ruang tertutup… ia tidak lagi sekadar pandangan, ia menjadi identiti.
“Mereka masih percaya pegangan itu betul sebab tidak ambil tahu keadaan sekeliling,” tambah beliau.
Saksikan Laporan Khas: Realiti di sebalik tabir Al- Arqam bermula Rabu hingga Jumaat ini di Astro Awani 7:45.
<