RASAH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Menurut Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, keputusan dicapai bagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan, setelah perbincangan yang rapi antara Biro Politik MUDA bersama MUDA Negeri Sembilan, MUDA telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan.
“(Keputusan dicapai) bagi memberi tumpuan untuk membina kekuatan MUDA menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya dalam satu sidang media anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Pejabat PSM Parlimen Rasah, pada Khamis.
Tambahnya, MUDA berpandangan landskap politik negara masih didominasi amalan politik lama, khususnya melibatkan dua gabungan utama, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, pengalaman sepanjang PRN Johor menunjukkan isu perkauman masih dijadikan senjata politik, manakala pertikaian pembahagian kerusi dan perebutan kuasa lebih diberi perhatian berbanding menawarkan dasar serta polisi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Justeru ujarnya, MUDA akan memberikan sokongan penuh kepada calon-calon daripada blok progresif, melibatkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) yang masing-masing mengumumkan akan bertanding di satu kerusi DUN melibatkan Rahang dan Jeram Padang.
“Kita (MUDA), terutama sekali MUDA Negeri Sembilan di bawah pimpinan saudara Redzuan Ahmed Abdullah akan mengembleng tenaga, berkempen untuk sahabat-sahabat blok progresif dan bawa suara-suara dan dasar-dasar progresif dalam Pilihanraya Negeri Sembilan kali ini.
“Antaranya soal ekonomi perut rakyat, soal iklim yang ditinggalkan jauh ke belakang dalam PRN Johor dan saya jangka akan ditinggalkan juga dalam PRN Negeri Sembilan dan soal hak-hak asasi rakyat termasuk kesihatan dan pendidikan. Saya doakan yang terbaik untuk rakan-rakan PSM dan Asli,” tambahnya lagi.
Menerusi sidang media sama, PSM mengumumkan Tinagaran Subramaniam akan bertanding di DUN Rahang manakala ASLI meletakkan Dayana Dal untuk bertanding di DUN Jeram Padang.
Ini merupakan penyertaan kedua Tinagaran dalam pilihan raya selepas tewas dalam saingan merebut kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menerusi saingan lima penjuru itu, Tinagaran memperoleh 779 undi manakala Mohamad meraih 53,075 undi seterusnya mencatat 19,897 majoriti.