Skip to main content

Malaysia

Surah al-Muzzammil bentuk kekuatan emosi, mental

MELAKA - Surah al-Muzzammil yang dipilih sebagai surah utama dalam program World #QuranHour (WQH) dilihat bertepatan dengan situasi masyarakat masa kini yang berdepan pelbagai cabaran dan tekanan hidup.
World #QuranHour peringkat Melaka dijadualkan berlangsung di Masjid Al-Azim, Melaka. - Foto Sinar Harian

MELAKA: Surah al-Muzzammil yang dipilih sebagai surah utama dalam program World #QuranHour (WQH) dilihat bertepatan dengan situasi masyarakat masa kini yang berdepan pelbagai cabaran dan tekanan hidup.

Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Zain Retas berkata, kandungan surah itu membawa mesej penting dalam membentuk kekuatan dalaman manusia sebelum membina dunia semua peringkat usia termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa hingga warga emas.

Advertisement

“Konsepnya ialah membentuk manusia sebelum membina dunia. Sebab itu Surah al-Muzzammil sesuai untuk semua golongan masyarakat.

“Surah ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda berdepan tekanan besar dalam memikul tanggungjawab menyampaikan dakwah kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, katanya, mesej dalam surah tersebut sangat relevan dengan keadaan masyarakat masa kini yang turut berdepan pelbagai tekanan sama ada dalam pelajaran, pekerjaan serta cabaran semasa seperti pengaruh gajet dan media sosial.

Ujarnya, melalui surah ini, masyarakat boleh menjadikannya sebagai panduan untuk memahami bagaimana mengurus tekanan dengan membina kekuatan dalaman.

“Ayat satu hingga 10 dalam Surah al-Muzzammil menekankan kepentingan membina kekuatan rohani seperti melaksanakan qiamullail, bersabar serta berserah kepada ALLAH SWT.

“Ayat 11 hingga 12 pula membina manusia supaya mampu mengawal emosi dan mental ketika berdepan cabaran kehidupan, manakala ayat 20 pula menekankan pembinaan kelestarian serta kasih sayang,” ujarnya.

Tambah beliau, secara keseluruhannya kandungan ayat satu hingga 20 dalam surah tersebut memberi panduan lengkap untuk membina kekuatan emosi dan mental selain membentuk masyarakat yang lebih berkasih sayang.

“Jika diamalkan, ia mampu membantu anggota masyarakat mengurus tekanan serta menghadapi cabaran hidup dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai persiapan WQH peringkat Melaka yang bakal berlangsung di Masjid Al-Azim, beliau menyasarkan menarik lebih 2,500 penyertaan dalam kalangan kakitangan kerajaan, pelajar sekolah serta orang awam.

Beliau pada masa sama mengajak orang ramai untuk turut serta agar dapat bersama menghayati maksud Surah al-Muzzammil, mengamalkan bacaan al-Quran seterusnya menerapkannya dalam kehidupan seharian.

WQH bakal berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini bersamaan 21 Ramadan bermula jam 12 hingga 1 tengah hari dengan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak sebagai lokasi perdana.

Program itu juga dijangka dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. - Sinar Harian

 

Must Watch Video