Skip to main content

Malaysia

Teater tanpa sempadan: FTA 2026 buka ruang pertukaran ilmu, budaya Nusantara

Penyelaras Festival Teater Antarnusa, Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin... kredit AWANI
Menurut Tengku Iefizulasyrifie, elemen "Temu" dalam tema tersebut melambangkan titik pertemuan yang membolehkan penggiat seni bertukar pandangan mengenai perkembangan seni persembahan kontemporari, selain meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan karya teater. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan penggiat seni teater dari lima negara Nusantara bagi memperkukuh pertukaran idea, silang budaya serta kerjasama akademik dan industri di rantau ini.

Penyelaras Festival, Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin berkata, festival yang bertemakan "Tanda. Temu. Tamu" itu bukan sekadar meraikan persembahan teater, malah membuka ruang perbincangan dan perkongsian ilmu antara pengamal seni daripada pelbagai latar budaya dan disiplin.

Menurut beliau, elemen "Temu" dalam tema tersebut melambangkan titik pertemuan yang membolehkan penggiat seni bertukar pandangan mengenai perkembangan seni persembahan kontemporari, selain meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan karya teater.

"Festival ini menjadi platform wacana, diskusi dan pertukaran idea. Kita bukan sahaja mempertemukan penggiat teater, malah membuka ruang silang budaya antara negara Nusantara yang mempunyai identiti dan pendekatan seni tersendiri.

"Melalui interaksi ini, peserta bukan sahaja berpeluang berkongsi pengalaman, malah melihat semula nilai, tradisi dan amalan seni yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk teater kontemporari," katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

Sepanjang empat hari penganjurannya, FTA 2026, jelas beliau, menampilkan pelbagai program termasuk bengkel teater, sesi Work in Progress, persembahan monodrama berkonsepkan site-specific menerusi program Kedai Cerita Runcit, serta showcase teater oleh kumpulan jemputan dari dalam dan luar negara.

Mengulas aspek pembangunan pendidikan seni, Tengku Iefizulasyrifie berkata, festival itu turut membuka ruang kepada kerjasama akademik yang lebih luas antara institusi pengajian seni di rantau Nusantara.

Katanya, pertukaran pelajar dan perkongsian silibus dalam bidang seni persembahan yang diamalkan oleh beberapa institusi serantau mampu memperluaskan pemahaman mahasiswa terhadap landskap teater antarabangsa.

"Festival seperti ini boleh menjadi pemangkin kepada pertukaran pengetahuan serta membuka peluang kerjasama akademik, termasuk pertukaran pelajar dan perkongsian kurikulum antara institusi seni dan budaya di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, FTA 2026 turut selari dengan usaha mempromosikan pelancongan budaya sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada kreativiti, keterangkuman dan kelestarian budaya.

Dalam pada itu, beliau melihat perkembangan media sosial sebagai faktor yang membantu meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap seni teater, khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Jika dahulu apresiasi terhadap teater agak terbatas, hari ini media sosial banyak membantu memperkenalkan karya dan aktiviti seni kepada khalayak yang lebih luas.

"Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan terhadap seni teater, namun yang lebih penting ialah kesedaran dan minat masyarakat semakin berkembang. Ini merupakan petanda positif kepada perkembangan industri seni persembahan negara," katanya.

Tambah beliau, ASWARA berharap FTA 2026 mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan strategik yang lebih kukuh dalam kalangan penggiat seni Nusantara, selain mencetuskan inovasi baharu dalam pembangunan teater kontemporari tanpa mengabaikan akar tradisi dan warisan budaya serantau.

Festival yang dianjurkan oleh Fakulti Teater ASWARA itu dibuka kepada orang ramai dengan kebanyakan program ditawarkan secara percuma, manakala tiket persembahan showcase dijual pada harga RM10 dan boleh ditempah menerusi platform CloudJoi.

Must Watch Video

Advertisement