PENGGUNAAN sheet mask atau topeng helaian selama 20 minit sebelum tidur kini menjadi amalan kebanyakan individu, khususnya golongan muda, yang mengimpikan kulit wajah lembap, licin dan berseri, atau glass skin yang dibudayakan oleh selebriti Korea Selatan.
Trend itu diperkukuh dengan kemunculan pelbagai jenis produk untuk kegunaan harian selama sebulan pada harga mampu milik, bersandarkan dakwaan rutin penjagaan ideal memerlukan penggunaan topeng helaian secara kerap atau setiap hari. Benarkah begitu?
Pakar perunding dermatologi Dr Ee Siew Li menyanggah dakwaan tersebut, kerana katanya penggunaan topeng helaian cuma memberi kesan hidrasi pada permukaan kulit memandangkan kebanyakan bahan aktif di dalam produk itu bertindak pada lapisan epidermis dan tidak menembusi struktur kulit lebih dalam.
“Kalau kita pakai, kulit nampak lebih lembap dan glowing, tetapi itu hanya kesan sementara pada permukaan kulit,” katanya ketika ditemui Bernama semasa program Cetaphil on Tour, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pakar daripada Hospital Assunta, Petaling Jaya ini berkata penggunaan setiap hari juga tidak semestinya sesuai untuk seseorang, terutamanya jika produk yang digunakan tersebut mempunyai bahan aktif seperti asid atau pewangi yang berisiko menjejaskan kulit.
Menegaskan topeng helaian bukan produk “wajib” dalam rutin penjagaan kulit muka, Dr Ee berkata masyarakat sebaliknya perlu kembali kepada rutin asas yang lebih ringkas menerusi kaedah “CTMP”.
Kaedah itu merangkumi penggunaan pencuci muka, rawatan bersasar seperti ubat jerawat, pelembap dan perlindungan matahari.
“Tetapi tak salah kalau nak guna sheet mask sebagai sebahagian daripada amalan penjagaan kendiri untuk kepuasan peribadi... janji anda rasa gembira dan kulit tidak mengalami sebarang reaksi alahan,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengingatkan produk topeng helaian dalam pek 30 hari yang semakin popular sekarang lazimnya memerlukan bahan pengawet bagi memastikan kestabilan formulasi serta mengelakkan pencemaran selepas dibuka dan digunakan berulang kali.
“Bila produk dibuka setiap hari, memang perlu ada bahan pengawet untuk mengelakkan pencemaran seperti bakteria atau kulat. Jadi pengguna perlu lebih berhati-hati kerana pendedahan berulang kepada bahan tertentu boleh meningkatkan risiko sensitiviti kulit dalam jangka panjang.
“Walaupun ada produk yang menyediakan penyepit, itu hanya membantu meminimumkan sentuhan. Namun jika penyepit tersebut dibiarkan terdedah dan tidak dibersihkan selepas digunakan, risikonya tetap sama seperti menggunakan tangan,” katanya, menambah produk jenis sekali guna sebenarnya lebih bersih.
-- BERNAMA