Skip to main content

Gaya Hidup

A Better Place: Teater drama-psikologi serlahkan kreativiti pelajar Fakulti Bahasa, Universiti Malaya

A Better Place
Pementasan A Better Place akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad, 6 dan 7 Jun 2026 di Auditorium Utama, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan tiket boleh didapatkan di Instagram @abetterplace.um.

KUALA LUMPUR: Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya membuktikan bahawa pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Inggeris mampu menyerlahkan bakat kreatif apabila diberikan peluang dan sebuah pentas.


Bakat kreatif inilah yang diketengahkan oleh para pelajar kelas TIE1015 - English and the Performing Arts, Fakulti Bahasa dan Linguistik Inggeris, Universiti Malaya dengan bertungkus-lumus memanfaatkan tempoh selama 14 minggu, supaya pementasan teater berjalan dengan lancar pada Sabtu dan Ahad depan (6 dan 7 Jun).


Menerusi dedikasi tenaga pendidik dan penuntut fakulti berkenaan, teater karya pelajar tahun pertama, Nur Amirah Batrisyia, yang berjudul A Better Place ini mampu 'melompat' keluar dari halaman skrip untuk dihidupkan di atas pentas auditorium.
 

Image
A better place AWANI
Image
A better place 5_AWANI
Buah tangan Nur Amirah Batrisyia ini sarat dengan pelbagai isu sosial yang dialami masyarakat.

A Better Place merupakan sebuah produksi teater psikologi yang sarat dengan emosi. Ia mengisahkan tentang empat beradik perempuan iaitu Ophelia, Clara, Isabella, dan Lydia Bennett yang membesar dalam sebuah persekitaran keluarga yang tegas dan penuh dengan gejolah perasaan. Di sebalik imej 'keluarga bahagia dan sempurna', tersembunyi perasaan takut, terlalu dikongkong, kesunyian, dan trauma yang belum pulih perlahan-lahan membuatkan hubungan mereka semakin retak. 


Tatkala setiap adik-beradik itu bergelut dengan masalah kesihatan mental, krisis identiti, tekanan, dan keinginan mereka untuk didengari, kisah ini mengungkap sebuah perjalanan yang menyayat hati berkaitan kesakitan, kehilangan dan pencarian makna tentang kebebasan dan persefahaman. 
 

Image
A better place AWANI
Latihan intensir=f para pelakon dan tenaga produksi menjelang hari pementasan.

Meneroka isu berkaitan kemurungan, mencederakan diri sendiri, bunuh diri serta ekspektasi keluarga, A Better Place menyerlahkan sebuah perjuangan senyap yang dialami oleh ramai individu di sebalik kehidupan peribadi yang tersembunyi daripada pandangan luar. 


Produksi yang digerakkan oleh sejumlah 23 orang termasuk 10 pelakon itu melalui tempoh latihan selama 14 minggu. Tenaga produksi pelajar itu kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar yang belum pernah melibatkan diri dalam seni teater. Proses pada awalnya cuma menjalankan sesi pra-produksi seperti perbincangan, pemilihan watak, pembacaan skrip, dan latihan awal menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada setiap hari Rabu jam 2 petang hingga 5 petang. 
 

Image
A better place AWANI
Marc Bligh (paling kiri) bersama tenaga produksi teater 'A Better Place'.

Namun, apabila tarikh pementasan semakin mendekat, masa yang diperlukan untuk menjalankan latihan juga meningkat sehingga latihan kini dijalankan selama 22 jam seminggu pada minggu terakhir.


Bagi pensyarah linguistik dari UM, Marc Vernon Bligh, cabaran awal yang dihadapi tentunya berkaitan proses pengenalan kemahiran seni teater kepada pelajar-pelajar yang digelar first-timers.


“Walaupun kebanyakan pelajar dalam kelas ini belum pernah terlibat dalam seni teater dan kemahiran asas perlu diajar, mereka mempunyai semangat dan dedikasi yang luar biasa dan pada pendapat saya itulah jauh lebih penting daripada kemahiran teknikal senit eater,” jelasnya sebagai pensyarah kepada kelas TIE1015.
 

Image
A better place AWANI
Tenaga produksi memastikan segala persiapan akhir disiapkan mengikut jadual.


Tambah Marc, ketika proses perbincangan dan pemilihan skrip, banyak yang dipertimbangkan termasuklah sama ada untuk memilih skrip yang sedia ada oleh pengarang lain yang lebih terkenal ataupun untuk memilih skrip yang seratus peratusnya dikarang oleh pelajar. 

Akhirnya, skrip yang dipilih merupakan skrip karya pelajar yang mengambil inspirasi daripada beberapa filem iaitu Girl, Interrupted, The Virgin Suicides dan Little Women.


Pementasan A Better Place akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad, 6 dan 7 Jun 2026 di Auditorium Utama, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan tiket boleh didapatkan di Instagram @abetterplace.um. Harga tiket untuk pelajar universiti dan sekolah ialah RM9 dan harga untuk awam RM15. 
 

Must Watch Video

Advertisement