SERDANG: FRAGMANIA 2026 yang julung kali dianjurkan bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 60 jenama dan pempamer wangian di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), bermula esok hingga Ahad.
Bertemakan “Where Masses Meet Scents”, festival itu bukan sekadar platform jualan minyak wangi, malah menjadi medan pertemuan peminat wangian, pengumpul, pencipta kandungan, pengasas jenama serta pemain industri dari seluruh negara.
Pengasas FRAGMANIA, Dr Iskandar Danial Adam Adonis berkata, pengunjung berpeluang mencuba pelbagai koleksi wangian, menyaksikan pelancaran produk baharu dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang tiga hari penganjuran.
Menurut beliau, FRAGMANIA turut membuka peluang kepada jenama tempatan dan baharu untuk memperkenalkan produk mereka secara lebih dekat kepada pengguna, sekali gus memperkukuh kedudukan industri wangian tempatan.
“FRAGMANIA bukan sekadar ekspo, tetapi platform utama untuk memperkenalkan jenama-jenama wangian tempatan terkenal dan jenama baharu yang sedang meningkat naik.
“Dengan kemasukan percuma, pengunjung dapat meneroka dunia wangian, mencuba pelbagai haruman, mengenali jenama baharu serta berinteraksi dengan komuniti yang berkongsi minat sama.
“Malah, mereka juga boleh mendapatkan wangian tempatan yang sebelum ini hanya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan harga bermula RM35 hingga RM1,988,” katanya.
Festival itu diadakan bersempena MySihat Expo 2026 yang turut menampilkan dua komponen utama lain iaitu pavilion perubatan dan kesihatan serta festival kulinari dan gaya hidup, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Sebagai tarikan tambahan, pembelian wangian bernilai sekurang-kurangnya RM150 melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah dengan keseluruhan hadiah bernilai sehingga RM100,000.
Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk sebuah Mini Cooper Countryman R60, motosikal elektrik, Samsung Galaxy A07 dan pelbagai hadiah menarik lain.
Penganjur turut menjanjikan suasana lebih meriah menerusi kehadiran beberapa selebriti terkenal antaranya Izzue Islam, Diana Danielle, Fedtri Yahya, Anim Ezati Rizki dan Fahrin Ahmad.
Kemuncak acara pada hari pertama ialah penampilan penyanyi popular, Aina Abdul, menerusi Mini Konsert FRAGMANIA yang dijadual berlangsung pada pukul 9.30 malam.
Sementara itu, Duta FRAGMANIA, Muhammad Syafiq Mansur berkata, festival tersebut memberi peluang kepada peminat untuk menghidu dan mencuba sendiri wangian secara fizikal yang sebelum ini hanya dikenali menerusi platform dalam talian.
Katanya, pengunjung juga boleh menghasilkan wangian sendiri secara percuma menerusi segmen DIY Perfume selain berpeluang menyertai cabutan bertuah yang diadakan dalam tiga sesi setiap hari.