Skip to main content

Gaya Hidup

[KOLUMNIS] Leksikal babi dalam budaya dan bahasa Melayu

BUTTERWORTH, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu pencemaran kumbahan dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini termasuk sisa kumbahan wajib dihantar ke loji biogas di Ampang Jajar, di sini.
Bagi masyarakat Melayu, kelompok haiwan bernama babi merupakan sebahagian daripada pengalaman hidup yang terbentuk melalui pengamatan terhadap hutan, tanah, tumbuh-tumbuhan, dan hidupan liar. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

LEKSIKAL babi sering kali dipandang negatif dalam lingkungan masyarakat Melayu dan Islam. Namun begitu, kewujudan kata babi begitu banyak ditemui dalam simpulan bahasa, peribahasa, dunia perubatan dan pertanian dalam ruang lingkup bahasa Melayu. 

Hal ini memperlihatkan hakikat bahawa sesuatu yang dianggap tabu secara budaya tidak semestinya terhapus daripada bahasa. Sebaliknya kata tersebut boleh menjadi lebih produktif dalam konteks tertentu sebagai nama haiwan, nama tumbuhan, istilah perubatan, peribahasa, kata terbitan, makian, dan metafora. 

Kajian terhadap perkataan “babi” memperlihatkan bahawa leksikon sesuatu bahasa umpama sebuah pusat dokumentasi yang menyimpan cara sesuatu masyarakat melihat alam, mengelaskan sesuatu benda, menilai tingkah laku manusia, membina perbandingan, dan mengekspresikan emosi.

Dalam lingkungan bahasa Melayu terdapat “babi” yang tidak memberi makna babi dalam konteks babi sebagai binatang. Keunikan leksikal babi dapat dilihat apabila kosa kata tersebut digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang tidak mempunyai hubungan biologi dengan haiwan berkenaan. Kamus Dewan merekodkan beberapa haiwan yang “menumpang” nama babi tetapi tidak merujuk kepada babi yang sebenar. Contohnya babi duyung, iaitu sejenis haiwan laut. 

Terdapat juga babi tanah, iaitu spesies haiwan kecil yang memakan semut. Kutu babi pula ialah parasit kecil yang menghisap darah manusia. Yang paling popular ialah siput babi, iaitu sejenis siput yang menjadi makhluk perosak kepada tumbuh-tumbuhan. Walaupun nama hidupan ini digandingkan dengan perkataan “babi”, dari segi hukumnya ia tidaklah najis dan haram disentuh seperti babi yang dirujuk sebagai haiwan yang haram dipegang dan dimakan dalam agama Islam. 

Terdapat juga istilah tanaman yang turut digandingkan dengan nama babi seperti pokok babi kurus atau nama sainstifiknya crudia scortechinii, iaitu sejenis pokok liar yang tumbuh di kawasan hutan. Manakala rumput babi atau synedrella nodiflora ialah sejenis tumbuhan rumpai tropika yang membiak sebagai perosak tanaman. Pokok halau babi atau nama sainstifiknya turnera subulata merupakan spesies pokok pagar yang mempunyai bau yang tidak menyenangkan yang boleh dijadikan sebagai penghalau babi. Keladi babi pula merujuk pada spesies tumbuhan colocasia antiquarum, iaitu tanaman berubi yang tumbuh liar di kawasan yang lembap.

Sesuatu leksikal itu mengalami perluasan makna daripada makna denotatif kepada makna konotatif. Pada asalnya perkataan babi hanya sebagai nama sejenis haiwan. Perkataan ini memperoleh nilai yang negatif sehingga digunakan sebagai kata makian atau penghinaan apabila emosi mempengaruhi kemarahan dan kebencian. 

Dalam konteks masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh nilai dan hukum Islam, babi mempunyai kedudukan yang sensitif seperti mana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 173, yang mengharamkan daging babi (dan keseluruhannya). Oleh itu, apabila nama haiwan tersebut dilemparkan kepada manusia, maknanya ia tidak lagi terbatas pada rujukan haiwan tersebut sebaliknya membawa maksud penghinaan terhadap maruah dan perangai seseorang. Hal ini menunjukkan bahawa makna sesuatu perkataan turut dibentuk oleh nilai budaya, agama, dan pengalaman sosial masyarakat penuturnya.

Penggunaan nama haiwan ini turut hadir dalam ungkapan tradisional. Antaranya ialah peribahasa “bagai babi merasa gulai”, yang digunakan untuk menggambarkan seseorang yang hendak menyama-nyamai orang yang lebih berada atau berkedudukan. Ungkapan sedemikian menunjukkan cara masyarakat tradisional membina perbandingan melalui dunia haiwan. Haiwan menjadi cermin untuk menggambarkan sikap manusia. 

 

Image
Konfrontasi_imej janaan AI
Dalam cerita turun-temurun, ada pelbagai contoh tentang sesuatu watak yang menjadi mangsa fitnah dan dituduh secara membabi buta tanpa bukti. - Gambar hiasan/Imej janaan AI

Dalam simpulan bahasa Melayu sering kali frasa “membabi buta” digunakan bagi merujuk sesuatu tindakan atau kerja yang dilakukan secara melulu tanpa berfikir panjang atau tanpa pertimbangan terlebih dahulu atau dengan kata yang lebih santun, frasa “membuta tuli” digunakan dalam konteks yang sama, hanya kerana mahu menggugurkan perkataan “babi” yang dianggap tabu bagi sesetengah pihak. 

Walau bagaimanapun, menggugurkan perkataan “babi” dan menggantikannya dengan “khinzir” sehingga menjadi “mengkhinzir buta” merupakan kesalahan besar dalam penggunaan bahasa Melayu. Dalam konteks ini, babi tidak semestinya hadir sebagai objek zoologi. Babi menjadi perlambangan dan perlambangan tersebut memperoleh makna melalui pengalaman budaya masyarakat yang menggunakannya.

Terdapat juga penggunaan istilah “babi” dalam peribahasa Melayu seperti “terlepas daripada babi gemuk, terpeluk anjing kurap” yang membawa maksud wanita yang bernasib malang yang bercerai daripada suami yang kaya raya dan berkahwin dengan orang yang miskin. Begitu juga dengan peribahasa “ular telan babi, cacing yang bengkak perut”. Maksudnya seseorang yang iri hati melihat keberuntungan orang lain. 

Ditemui juga peribahasa “anjing galak, babi berani”, yang bererti bertemu lawan yang sama padan. Terdapat juga perumpamaan “bertambah gemuk tubuh babi, bertambah kecil matanya”. Perumpamaan ini menjurus kepada orang miskin yang beroleh kekayaan dan mementingkan dirinya sahaja sehingga tidak memandang kepada orang lain. 

“Kepala yu, ekor babi” pula bermaksud orang yang suka berpura-pura. Peribahasa “disangka bedena timbul, terpeluk bangkai babi bengkak hanyut” bermaksud orang tamak yang tidak tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Ditemui juga perumpamaan “didahului bak melanting babi”. Maksudnya mendahului sesuatu pekerjaan itu kadang-kadang memberi hasil yang baik. 

Ada juga simpulan bahasa “bermain kucing dengan babi”, iaitu orang yang bermain ceki (judi) dengan mempertaruhkan sejumlah wang. Manakala peribahasa “diidam seperti babi lemak” membawa maksud menyimpan dendam yang tidak pernah berkesudahan. Bagi orang yang beranak banyak tetapi malas mencari nafkah sering kali digelar sebagai “menggeriak bagai anak babi”. 

Dunia perubatan juga mengambil perkataan “babi” bagi merujuk sesuatu penyakit seperti sawan babi atau gila babi atau istilah perubatannya ialah epilepsi. Penyakit ini menjadikan pesakit bertindak seperti babi yang mengamuk atau menyondol tidak tentu arah. Selesema babi pula ialah penyakit saluran pernafasan yang berpunca daripada virus influenza A daripada populasi babi. 

Contoh-contoh yang dikemukakan tersebut merupakan perubahan daripada makna denotatif kepada makna yang lebih metafora dan dianggap gejala biasa dalam perkembangan bahasa. Perkataan “babi” memperlihatkan bahawa hubungan antara bahasa, budaya dan alam sekitar tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang mencipta sesuatu perlambangan dan perumpamaan. 

Bagi masyarakat Melayu, kelompok haiwan bernama babi merupakan sebahagian daripada pengalaman hidup yang terbentuk melalui pengamatan terhadap hutan, tanah, tumbuh-tumbuhan, dan hidupan liar. Daripada babi hutan yang menjadi ekosistem haiwan sehinggalah kepada pelbagai peribahasa dan ungkapan yang lahir daripada pengalaman manusia terhadapnya, setiap penggunaan kata tersebut merakam cara masyarakat memahami alam di sekeliling mereka.

Dalam konteks budaya, perkataan babi turut memperlihatkan tentang nilai agama, norma sosial dan pandangan hidup yang memberikan lapisan makna kepada sesuatu makhluk. Oleh yang demikian, leksikal babi telah menghubungkan manusia dengan alam sebagaimana alam dinamai, ditafsiri, dan diwarisi melalui perkembangan bahasa.

Banyak juga pantun Melayu yang menyebut tentang babi. Walau bagaimanapun, hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang lain. Saya tinggalkan penulisan ini dengan serangkap pantun Melayu daripada koleksi buku Kurik Kundi Merah Saga

Pergi ke hutan memburu babi,
Babi seekor taringnya panjang;
Tidak salah lagakkan diri,
Asal tidak menghina orang.


* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, atau berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement