Skip to main content

Gaya Hidup

MDV perkukuh komitmen CSR bulan Ramadan bersama YCK

MDV Ramadan
Majlis dimulakan dengan sesi ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Hazin Ahmad dan Ustazah Fazilah Abdul Rashid sebelum para peserta bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa.

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) terus memperkukuh komitmennya dalam menyantuni komuniti kurang berkemampuan melalui penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Duit Raya bersama lebih 100 orang kanak-kanak di bawah jagaan Yayasan Chow Kit (YCK).


Program yang diadakan di premis YCK pada minggu lalu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MDV yang memberi tumpuan kepada sokongan berterusan terhadap komuniti terpinggir, khususnya kanak-kanak daripada latar belakang B40 dan golongan kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur.

Advertisement


Majlis dimulakan dengan sesi ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Hazin Ahmad dan Ustazah Fazilah Abdul Rashid sebelum para peserta bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh kebersamaan. Kemuncak program menyaksikan penyampaian duit raya sebanyak RM100 kepada setiap kanak-kanak sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MDV dalam memastikan pertumbuhan organisasi seiring dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.


“Sebagai sebuah institusi pembiaya teknologi milik kerajaan, MDV percaya bahawa kejayaan perniagaan perlu berjalan seiring dengan sumbangan bermakna kepada komuniti. Melalui kolaborasi bersama YCK, kami berharap dapat membawa sedikit keceriaan kepada anak-anak ini di bulan Ramadan yang mulia,” katanya.

Image
MDV Ramadan


Beliau turut menambah bahawa MDV sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik dalam melaksanakan program CSR yang berimpak tinggi dan mampan, khususnya yang menyokong pembangunan komuniti kurang berkemampuan.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, MDV aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi kebajikan dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Melalui penyertaan sukarelawan warga MDV dalam program tersebut, majlis berbuka puasa itu bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan sumbangan, malah memperkukuh nilai empati, solidariti dan kebersamaan dalam kalangan warga kerja MDV.


Program ini mencerminkan aspirasi MDV untuk terus memainkan peranan sebagai organisasi yang bukan sahaja memacu pembangunan sektor teknologi negara, malah komited dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial secara inklusif dan berterusan.
 

Must Watch Video