Siapa sangka seorang ibu empat anak mampu mengetuai sebuah balai bomba yang mempunyai 37 anggota yang didominasi kaum lelaki?

Gender dan pilihan kerjaya ternyata bukan lagi satu persoalan. Itulah rutin harian bagi Agustavia Joe Guasi, 37, yang bertugas sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

Sejak dilantik menggalas tanggungjawab berat tersebut pada 1 Ogos lalu, Agustavia yang merupakan anak kelahiran Kampung Nalapak, Ranau, itu hanya mampu tersenyum apabila ditanyakan mengenai perasaannya menjadi Ketua Balai.

Untuk rekod, 'Puan Abby' iaitu panggilan dalam kalangan teman rapatnya, merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua BBP pertama di Sabah.

Baginya, perasaan kekok untuk berinteraksi dengan anggota jagaannya tidak pernah wujud, apatah lagi pernah bertugas di Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kira-kira sembilan tahun lalu.

"Mungkin seorang dua yang baru bertugas di Balai Bomba Lintas, tapi itu tidak menjadi satu masalah sebab saya telah menjalankan sesi suai kenal.

"Saya minta pandangan mereka apa yang perlu diperbaiki untuk balai ini, apa harapan mereka. Saya minta suntikan motivasi kerana merekalah menjadi penggerak saya di balai ini," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Agustavia mendapat kerjasama seluruh pasukan dan dihormati sebagai Ketua BBP Lintas. - Astro AWANI

Baginya, meskipun tugasnya sentiasa berdepan dengan situasi kecemasan dan bencana seperti cabaran memadamkan kebakaran atau banjir mahupun kecemasan lain, Agustavia rasa bersyukur kerana keluarganya amat memahami tuntutan kerjaya yang diceburinya.

Jelas Agustavia, empat anaknya yang berusia antara lapan hingga 19 tahun itu sudah biasa dengan kesibukan dan komitmen ibu mereka, malah disokong oleh suaminya yang tercinta.

Bagi yang belum pernah mengenalinya, mungkin agak sukar untuk membayangkan wanita ini menyesuaikan masanya untuk keluarga dan kerjaya yang lasak itu.

"Sebagai seorang ibu kepada empat orang anak, saya harus membahagikan masa antara kerjaya dan juga menguruskan rumah tangga di mana keluarga saya cukup memahami.

"Mereka sedar tanggungjawab saya sebagai ketua balai ini besar, mereka juga bagi dorongan dan sokongan yang bagus," katanya.

Bagi wanita kental itu, dia tidak pernah sedetik pun berasa menyesal memikul tugas sebagai ahli bomba sejak tahun 2001, malah kini kerjaya lasak itu diibaratkan sebagai sebahagian daripada jiwanya.

Secara kebetulan bersempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan 2019, Agustavia yang berkongsi tarikh hari bersejarah itu dengan hari kelahirannya, berharap supaya golongan wanita di Sabah terus yakin pada kerjaya yang mereka ceburi.

"Bersempena Hari Kemerdekaan ini, saya berharap kisah saya menjadi inspirasi golongan wanita di luar sana. Jangan cepat mengalah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

"Selamat menyambut 62 tahun kemerdekaan, Malaysiaku," katanya.