SETIAP pagi sebelum bekerja di sebuah tapak pembinaan di Singapura, Gunasekar Udayakumar, 41 tahun, melakukan pemeriksaan kesihatan tanpa perlu pergi ke klinik ataupun berjumpa dengan jururawat.

Apa yang dia perlukan hanyalah telefon pintar dan dalam masa 45 saat, ia dapat memberitahu Udayakumar mengenai kadar denyutan jantung, kadar oksigen dan juga tahap tekanannya.

Ini juga dapat memberitahunya sama ada dia perlu berjumpa doktor atau pun tidak.

Menurut Reuters, aplikasi yang dibangunkan syarikat pemula Singapura Nervotec itu dianggap syarikat pembinaan Kajima sebagai barisan pertahanan pertamanya terhadap wabak COVID-19 di Singapura.

Negara Kota Singa itu mengambil tindakan berhati-hati terhadap penularan virus dan ingin mengelakkan pengulangan berlaku pada tahun lalu ketika kluster-kluster baharu muncul di asrama pekerja asing.

Kakitangan Kajima di pelbagai lokasi telah menggunakan aplikasi tersebut sejak bulan Disember sebagai sebahagian daripada program dimulakan oleh kerajaan yang menyediakan teknologi tahap percubaan kepada syarikat untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan norma baharu era pandemik.

Ia menawarkan diagnosis keadaan kesihatan pengguna, hanya bergantung pada kamera telefon pintar yang dapat mengukur degupan jantung dengan mengambil perubahan dalam pantulan cahaya pada kulit pengguna di antara degupan jantung mengikut aliran darah di bawahnya.

Pengasas Nervotec, Jonathan Lau berkata, kerajaan Singapura sangat berminat dengan teknologi tersebut.

"Kami melihat tarikan paling banyak datang dari penyedia perkhidmatan kesihatan, baik swasta dan awam," katanya.

Inspirasi awal Lau berasal dari pengalamannya sebagai juruterbang tentera udara, ketika dia menjalani pemeriksaan berterusan.

Dia akhirnya menubuhkan sebuah syarikat yang menggunakan peranti yang boleh dipakai untuk memantau juruterbang. Tetapi ketika wabak itu melanda, Lau memperluaskan fokus.

Aplikasi ini masih dalam kajian tempatan dan Pengarah Institut Inovasi dan Teknologi Kesihatan Universiti Nasional Singapura, Chwee Teck Lim berkata, ia boleh memberi kesan besar jika diluluskan oleh pengawal selia

"Apa yang dicadangkan oleh Nervotec berpotensi menjadi 'game-changer'," kata Lim.