SYARIKAT teknologi gergasi Apple menjanjikan untuk memberi fokus produk terbaharu mereka
kepada pasaran industri pendidikan yang kini didominasi pesaingnya, Google dan Microsoft.

Dalam satu majlis Apple yang berlangsung di sebuah sekolah di Chicago hari ini, ia memperkenalkan iPad 9.7 inci yang terbaharu dengan versi terkini.

iPad tersebut turut hadir dengan sokongan Touch ID, kandungan realiti saduran (AR), kamera 8-megapixel, paparan retina serta dilengkapi dengan cip A10.

Menurut Apple, iPad yang “mampu dimiliki” itu ditawarkan dengan harga yang sedikit murah bagi pengguna dalam industri pendidikan.
iPad 9.7 inci terbaharu itu mempunyai sokongan Touch ID dan kandungan realiti saduran (AR). - Foto apple.com

Berdasarkan apa yang dipaparkan di halaman Apple Malaysia, ia ditawarkan pada harga bermula RM1449 namun jika anda kini berada dalam industri pendidikan, anda boleh memiliki iPad tersebut dengan harga yang bermula RM1,359.

iPad tersebut ditawarkan dalam dua variasi iaitu dengan WiFi sahaja atau dengan selular, dengan pilihan storan 32GB atau 128GB.

Bagaimanapun, Apple tidak mengumumkan bilakah tarikh iPad terbaharu itu akan dijual untuk pasaran Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Produk Apple Greg Joswiak berkata lebih 200,000 aplikasi dibangunkan khas untuk pendidikan.

Lebih 200,000 aplikasi pendidikan dibangunkan dalam Apple App Store. - Foto apple.com

Jelasnya, model 9.7 inci adalah paling popular untuk jualan iPad.

iPad terbaharu ini juga mempunyai sokongan Apple Pencil yang diperkenalkan hampir dua tahun lalu yang sebelum ini hanya boleh digunakan untuk model iPad Pro. Ia masih akan dijual berasingan dengan iPad baharu ini namun menurut Apple, ia bakal dijual dengan lebih mudah untuk pelajar atau mereka yang berada dalam industri pendidikan.