Pihak pengurusan pusat peranginan A Famosa Resort menawarkan dua menu istimewa sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat A’ Famosa Resort, Datuk Alex Lau berkata, inisiatif itu julung kali diadakan dengan menyediakan menu masakan asam pedas ikan dan nasi beriani serendah RM1.60 sebagai simbolik sempena sambutan Hari Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua menu istimewa dengan harga murah itu boleh dinikmati pengunjung di medan selera Citarasa Melaka di lokasi Jua­lan beli-belah Freeport A’Famosa Outlet (FAO) bermula dari 14 September hingga 17 September ini.

“Ini antara usaha yang kita lakukan dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia di Melaka.

“Selain menu dengan tawaran harga istimewa, kita juga menyediakan pelbagai program menarik sepanjang sambutan itu kepada pe­ngunjung, selain objektif kita bersama menyemai semangat patriotik dan sejarah Hari Malaysia,” katanya.

FAO yang berkeluasan 310,000 kaki persegi, menawarkan lebih 60 kedai barangan berjenama serta fe­syen terkini kepada pengunjung seperti pakaian kanak-kanak, barangan sukan, kasut, beg, peralatan optikal, aksesori, makanan, minuman, produk kecantikan dan wangian.

Pusat beli-belah secara terbuka yang mengetengahkan konsep seni bina bertemakan warisan Belanda dan Melaka itu terletak berhampiran Plaza Tol Alor Gajah di Lebuh Raya Utara Selatan.