MERBOK: Kreativiti seorang imam menarik jemaah untuk mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan perlu dijadikan inspirasi buat pentadbir masjid lain seluruh negara.

Menjadikan Masjid Nabawi sebagai simbol penyatuan ummah dan peradaban Islam selain daripada fungsi untuk solat, majlis keagamaan malah masjid juga boleh dijadikan pusat perniagaan.

Imam yang juga pengerusi Masjid Al-Busyra di sini, Mohd Firdaus Mat Akhir, 35, berkata idea untuk menganjurkan bazar Ramadan di pekarangan masjid tercetus hasil perbincangan bersama seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid pada bulan Febuari lalu.



“Peranan masjid sebagai pusat kegiatan spiritual dalam konteks ini pusat ibadah umat Islam, Rumah Allah, hendaklah dipergiatkan dengan menganjurkan bazar untuk menarik lebih ramai jemaah menjadikan masjid sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi.

“Biarpun berada di lokasi agak terpencil namun kewujudan bazar ini berjaya menjadikan kawasan ini meriah malah ada pengunjung yang datang dari luar Kedah yang sanggup singgah di situ.

"Alhamdulillah seramai 50 peniaga sertai bazar Ramadan dan sambutannya sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.



Mohd Firdaus berkata, usahanya mewujudkan bazar itu berjaya menarik umat Islam terutama golongan muda untuk solat berjemaah dan iftar di masjid.

Katanya, idea itu tercetus kerana beliau mahu menjadikan masjid sebagai pusat sehenti dan mesra musafir.

"Memandangkan kawasan ini orang sering lalu-lalang untuk ke Tanjung Dawai, tiada tempat yang orang boleh singgah dengan selesa untuk makan, mandi, rehat dan sebagainya, jadi kita buat masjid sebagai masjid rehat dan rawat (R&R).



Mohd Firdaus berkata, pihaknya menerusi koperasi masjid hanya mengenakan sewa sebanyak RM500 sebulan kepada peniaga dan mereka hanya membawa meja dan barang jualan kerana khemah disediakan pengurusan masjid.

Katanya, terdapat pelbagai menu menarik yang dijual dengan harga berpatutan di bazar itu.

Beliau berkata, untuk perancangan tahun depan, pihaknya akan meluaskan tapak bazar bagi memberi peluang kepada lebih ramai peniaga.

"Insya-Allah kita rancang untuk tempatkan seramai 250 peniaga tahun depan," katanya yang dilantik menjadi imam di masjid itu pada 2018.



Selain itu, Mohd Firdaus turut mempunyai perancangan membina hotel empat tingkat dengan kemudahan 30 hingga 40 bilik menerusi konsep penajaan bagi memastikan masjid itu terus imarah dengan kehadiran orang tempatan dan pengunjung luar.

"Tidak ada lagi tembok dan pagar masjid, orang ramai boleh keluar masuk bila-bila masa saja, kita juga menang pertandingan tandas bersih dan mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting sekarang, masjid kita penuh dengan jemaah," katanya.