KLANG: Hampir setiap pagi, terutama pada hujung minggu, deretan motosikal termasuk yang berkuasa tinggi memenuhi ruang letak kenderaan di depan sebuah kafe ala warung di Jalan Paip, Meru, di sini.
Di setiap meja di dalam kafe itu pula ada pelanggan yang duduk menikmati hidangan pagi, sementara di luar, barisan mereka yang sabar menunggu giliran untuk masuk ke dalam kafe semakin panjang - pemandangan yang menarik perhatian penulis untuk turut mencuba makanan di Cafe Salim ini.
Menawarkan kelainan, kafe yang dioperasikan oleh bekas jurumasak peribadi kerabat diraja Arab Saudi Almarhum Putera Turki bin Abdul Aziz itu menghidangkan menu ala Barat selain makanan tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Pasti mahal, mungkin itu tanggapan ramai. Namun jauh panggang dari api, kerana untuk menikmati set hidangan seperti Classic Breakfast yang merangkumi telur, kentang panggang, sosej bakar, tomato panggang, salad, daging lembu, kacang panggang dan roti bakar, pelanggan hanya perlu membayar RM18.
"Di sini kita menyajikan set makanan mewah ala Barat namun pada harga rendah. Hanya dengan kira-kira RM100, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan bersama ahli keluarga," kata pemilik kafe Salim Bahari kepada Bernama.
Mengangkat konsep santai dengan mengetengahkan tema hipster, kafe itu dihiasi pelbagai model motosikal Harley-Davidson mini dan bahagian kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning. Dinding pula sarat dengan pelekat persatuan motosikal berkuasa tinggi dan kereta.
Bercerita lanjut, Salim, 64, berkata, walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan beliau adalah setanding.
"Saya dapat tawarkan harga yang kompetitif dengan kualiti setanding hidangan hotel kerana saya dapatkan bahan mentah terus daripada pembekal di sekitar Klang, sekali gus mengurangkan kos.
"Atas sebab itu jugalah saya dapat pilih sendiri bahan mentah, dan sudah tentu saya pilih yang terbaik untuk dihidangkan kepada pelanggan," katanya yang mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun sebagai cef termasuk di hotel terkenal di seluruh negara.
Selain itu, Salim yang berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan, melatih sendiri kesemua 12 orang jurumasak di kafenya.
"Masing-masing dilatih dengan kemahiran tertentu. Contohnya, seorang cef pakar memasak telur dadar, manakala yang lain pula pakar menyediakan roti bakar dan memasak spageti.
"Melalui kaedah ini, kita boleh memaksimumkan kecekapan penyediaan makanan kerana semua cef ada tugas masing-masing. Makanan siap dengan cepat, pelanggan puas hati sebab sedap dan dapat makan dengan segera, seterusnya semua orang gembira," katanya.
Beliau membuka kafe itu pada Ogos 2022, dan mengaku pada peringkat awal agak bimbang tidak mendapat sambutan kerana menu sarapan ala Barat jarang diketengahkan oleh pengusaha kafe tempatan.
"Tapi Alhamdulillah, kuasa tular media sosial membuatkan kafe saya menjadi tumpuan pelanggan yang datang dari segenap pelosok negara dengan ada yang berkonvoi motosikal," ujar beliau.
Menurut beliau, pada hari biasa, lazimnya kafe beliau menerima secara purata 400 pelanggan dan meningkat kepada 700 orang pada hujung minggu.
Pengalaman luas bidang kulinari
Mengimbas kembali sejarah pembabitannya dalam bidang kulinari, Salim berkata, selepas menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang pengurusan perkhidmatan makanan di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1980, beliau bekerja sebagai pembantu dapur di Hotel Hyatt Regency Kuantan, Pahang.
Beliau kemudian mengikuti program perantisan di Hotel Hilton Kuala Lumpur selama tiga tahun bermula 1983.
"Menerusi program inilah saya mempelajari selok-belok dan cabaran di dapur hotel serta perlu memahirkan diri melalui latihan teori dan praktikal membabitkan penyediaan makanan pelbagai kategori, antaranya fine dining, masakan Melayu, Cina, pastri serta coffee house," kongsinya.
Menurut Salim, beliau kemudian dapat bekerja sebagai cef peribadi Almarhum Putera Turki dari 1987 hingga 1989 di Jeddah, Arab Saudi.
"Saya memohon menerusi Kedutaan Arab Saudi di sini dan berjaya. Tempoh tiga tahun itu memberikan saya pengalaman yang sangat bernilai serta mematangkan kerjaya saya.
"Ketika di sana, antara tugas utama saya ialah menyediakan makanan untuk ahli kerabat diraja serta memasak bagi setiap majlis untuk tetamu kehormat yang dijemput oleh pihak istana," katanya.
Bagi meningkatkan kemahiran, Salim mengikuti pelbagai kursus di beberapa hotel terkemuka di luar negara.
Dari situ juga beliau belajar aspek pengurusan restoran hotel luar negara, yang menurutnya sangat berbeza dengan pengurusan hotel di Malaysia.
"Di luar negara, bahan mentah termasuk buah-buahan dan herba (untuk masakan Barat) mudah diperolehi kerana cuaca lebih sejuk berbanding di negara ini yang kebanyakannya perlu dimport, sekali gus menjadi cabaran kepada pengusaha hotel tempatan," ujarnya.
Sepanjang kariernya dalam perhotelan, beliau pernah memenangi beberapa anugerah kulinari, antaranya pingat perak bagi kategori Plated Appetizer anjuran Foodex/Hotelex Malaysia, pingat gangsa bagi dua kategori Butter Sculpture dan Buffet Platter anjuran Salon Gastronomique Malaysia, serta pingat gangsa bagi kategori 5 Course Set Dinner dan Western Cuisine yang dianjurkan oleh Food and Hotel Asia Singapore.
"Kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil sokongan isteri, Sahlawati Norman dan anak-anak. Bagaimanapun daripada empat orang anak, hanya anak kedua sahaja yang mengikuti jejak saya," katanya yang merupakan ahli kehormat beberapa persatuan kulinari, antaranya Confrerie De La Chaine De Rotisseurs Baillage De Malaisie dan Professional Culinaire Association Malaysia.
Beroperasi Selasa hingga Ahad, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari, Cafe Salim menawarkan pelbagai hidangan sarapan ala Barat berharga serendah RM9, antaranya Chunky Mushroom Soup, Grilled Chicken Chop dan Seafood Chowder (masing-masing RM19), selain turut menghidangkan menu tempatan seperti nasi lemak rendang kerang (RM9), laksa Sarawak dan mi kolok goreng (masing-masing RM12) serta kuetiau goreng (RM8). - BERNAMA
Bernama
Mon Feb 19 2024
Cafe Salim ala warung ilham Cef Salim di Jalan Paip, Meru, Klang, menawarkan harga 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel. - Gambar Bernama
Arahan tutup pasar malam waktu Maghrib tidak babitkan peniaga bukan Islam
Arahan penutupan sementara hanya membabitkan peniaga Islam bagaimanapun turut menggalakkan peniaga bukan Islam sekiranya mahu berbuat demikian.
Pelan Tindakan Pendidikan dan Penghayatan Rukun Negara dilancar Ogos ini - Aaron
Ia melibatkan Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Komunikasi.
Peserta maraton Cyberjaya dipapah lepasi garisan penamat
Peserta maraton rebah di garisan penamat sejurus sebelum menamatkan larian 42km dalam perlumbaan Twincity Marathon Cyberjaya.
Proton buka pusat penyelidikan dan pembangunan di Teluk Hangzhou, China
Pembukaan pusat R&D itu akan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman mereka dengan penggunaan sumber dan pengetahuan Geely.
AWANI Ringkas: Wujudkan akta lindungi pekerja OKU/autistik
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH tayang sijil UPSR 7A, SPM 10A
Calon PH, Pang Sock Tao menyahut cabaran Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya menunjukkan kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya.
AWANI Ringkas: Wujudkan akta lindungi pekerja OKU/autistik
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Isu stoking: Pengarah KK Mart, isteri akan kemuka representasi kepada AGC
Pengarah KK Mart yang berdepan dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
Inisiatif IHH Healthcare lancar pemasangan panel solar wajar jadi contoh - Fadillah Yusof
IHH Healthcare Malaysia mencatatkan pencapaian baharu dengan melancarkan inisiatif pemasangan panel solar di seluruh rangkaian hospitalnya sekali gus menjadikannya pelopor.
Che'gu Bard akan didakwa di Johor Bahru esok
Che'gu Bard berkata, ia dipercayai berhubung kenyataannya mengenai isu kasino di Forest City, Johor.
Bekas cef kerabat diraja Arab Saudi tawar menu sarapan ‘kayangan’ pada harga mampu milik
Walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan Cef Salim adalah setanding.