KLANG: Hampir setiap pagi, terutama pada hujung minggu, deretan motosikal termasuk yang berkuasa tinggi memenuhi ruang letak kenderaan di depan sebuah kafe ala warung di Jalan Paip, Meru, di sini.
Di setiap meja di dalam kafe itu pula ada pelanggan yang duduk menikmati hidangan pagi, sementara di luar, barisan mereka yang sabar menunggu giliran untuk masuk ke dalam kafe semakin panjang - pemandangan yang menarik perhatian penulis untuk turut mencuba makanan di Cafe Salim ini.
Menawarkan kelainan, kafe yang dioperasikan oleh bekas jurumasak peribadi kerabat diraja Arab Saudi Almarhum Putera Turki bin Abdul Aziz itu menghidangkan menu ala Barat selain makanan tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Pasti mahal, mungkin itu tanggapan ramai. Namun jauh panggang dari api, kerana untuk menikmati set hidangan seperti Classic Breakfast yang merangkumi telur, kentang panggang, sosej bakar, tomato panggang, salad, daging lembu, kacang panggang dan roti bakar, pelanggan hanya perlu membayar RM18.
"Di sini kita menyajikan set makanan mewah ala Barat namun pada harga rendah. Hanya dengan kira-kira RM100, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan bersama ahli keluarga," kata pemilik kafe Salim Bahari kepada Bernama.
Mengangkat konsep santai dengan mengetengahkan tema hipster, kafe itu dihiasi pelbagai model motosikal Harley-Davidson mini dan bahagian kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning. Dinding pula sarat dengan pelekat persatuan motosikal berkuasa tinggi dan kereta.
Bercerita lanjut, Salim, 64, berkata, walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan beliau adalah setanding.
"Saya dapat tawarkan harga yang kompetitif dengan kualiti setanding hidangan hotel kerana saya dapatkan bahan mentah terus daripada pembekal di sekitar Klang, sekali gus mengurangkan kos.
"Atas sebab itu jugalah saya dapat pilih sendiri bahan mentah, dan sudah tentu saya pilih yang terbaik untuk dihidangkan kepada pelanggan," katanya yang mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun sebagai cef termasuk di hotel terkenal di seluruh negara.
Selain itu, Salim yang berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan, melatih sendiri kesemua 12 orang jurumasak di kafenya.
"Masing-masing dilatih dengan kemahiran tertentu. Contohnya, seorang cef pakar memasak telur dadar, manakala yang lain pula pakar menyediakan roti bakar dan memasak spageti.
"Melalui kaedah ini, kita boleh memaksimumkan kecekapan penyediaan makanan kerana semua cef ada tugas masing-masing. Makanan siap dengan cepat, pelanggan puas hati sebab sedap dan dapat makan dengan segera, seterusnya semua orang gembira," katanya.
Beliau membuka kafe itu pada Ogos 2022, dan mengaku pada peringkat awal agak bimbang tidak mendapat sambutan kerana menu sarapan ala Barat jarang diketengahkan oleh pengusaha kafe tempatan.
"Tapi Alhamdulillah, kuasa tular media sosial membuatkan kafe saya menjadi tumpuan pelanggan yang datang dari segenap pelosok negara dengan ada yang berkonvoi motosikal," ujar beliau.
Menurut beliau, pada hari biasa, lazimnya kafe beliau menerima secara purata 400 pelanggan dan meningkat kepada 700 orang pada hujung minggu.
Pengalaman luas bidang kulinari
Mengimbas kembali sejarah pembabitannya dalam bidang kulinari, Salim berkata, selepas menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang pengurusan perkhidmatan makanan di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1980, beliau bekerja sebagai pembantu dapur di Hotel Hyatt Regency Kuantan, Pahang.
Beliau kemudian mengikuti program perantisan di Hotel Hilton Kuala Lumpur selama tiga tahun bermula 1983.
"Menerusi program inilah saya mempelajari selok-belok dan cabaran di dapur hotel serta perlu memahirkan diri melalui latihan teori dan praktikal membabitkan penyediaan makanan pelbagai kategori, antaranya fine dining, masakan Melayu, Cina, pastri serta coffee house," kongsinya.
Menurut Salim, beliau kemudian dapat bekerja sebagai cef peribadi Almarhum Putera Turki dari 1987 hingga 1989 di Jeddah, Arab Saudi.
"Saya memohon menerusi Kedutaan Arab Saudi di sini dan berjaya. Tempoh tiga tahun itu memberikan saya pengalaman yang sangat bernilai serta mematangkan kerjaya saya.
"Ketika di sana, antara tugas utama saya ialah menyediakan makanan untuk ahli kerabat diraja serta memasak bagi setiap majlis untuk tetamu kehormat yang dijemput oleh pihak istana," katanya.
Bagi meningkatkan kemahiran, Salim mengikuti pelbagai kursus di beberapa hotel terkemuka di luar negara.
Dari situ juga beliau belajar aspek pengurusan restoran hotel luar negara, yang menurutnya sangat berbeza dengan pengurusan hotel di Malaysia.
"Di luar negara, bahan mentah termasuk buah-buahan dan herba (untuk masakan Barat) mudah diperolehi kerana cuaca lebih sejuk berbanding di negara ini yang kebanyakannya perlu dimport, sekali gus menjadi cabaran kepada pengusaha hotel tempatan," ujarnya.
Sepanjang kariernya dalam perhotelan, beliau pernah memenangi beberapa anugerah kulinari, antaranya pingat perak bagi kategori Plated Appetizer anjuran Foodex/Hotelex Malaysia, pingat gangsa bagi dua kategori Butter Sculpture dan Buffet Platter anjuran Salon Gastronomique Malaysia, serta pingat gangsa bagi kategori 5 Course Set Dinner dan Western Cuisine yang dianjurkan oleh Food and Hotel Asia Singapore.
"Kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil sokongan isteri, Sahlawati Norman dan anak-anak. Bagaimanapun daripada empat orang anak, hanya anak kedua sahaja yang mengikuti jejak saya," katanya yang merupakan ahli kehormat beberapa persatuan kulinari, antaranya Confrerie De La Chaine De Rotisseurs Baillage De Malaisie dan Professional Culinaire Association Malaysia.
Beroperasi Selasa hingga Ahad, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari, Cafe Salim menawarkan pelbagai hidangan sarapan ala Barat berharga serendah RM9, antaranya Chunky Mushroom Soup, Grilled Chicken Chop dan Seafood Chowder (masing-masing RM19), selain turut menghidangkan menu tempatan seperti nasi lemak rendang kerang (RM9), laksa Sarawak dan mi kolok goreng (masing-masing RM12) serta kuetiau goreng (RM8). - BERNAMA
Bernama
Mon Feb 19 2024
Cafe Salim ala warung ilham Cef Salim di Jalan Paip, Meru, Klang, menawarkan harga 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel. - Gambar Bernama
Apple Pencil baharu hadir dengan sistem haptik
Apabila digunakan pada skrin iPad, pengguna boleh merasakan tindak balas haptik seakan menggunakan pensel sebenar.
[TERKINI] KPM giat laksana pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara
KPM berkata, Laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' berkenaan sistem pendidikan negara diambil perhatian.
Tentera AS edar gambar jeti maritim Gaza siap dibina
Beberapa gambar pembinaan jeti maritim oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan telah diedarkan Komando Pusat AS pada Isnin.
Pesara tentera maut dilanggar lori menggelongsor
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat berkenaan kepada pegawai penyiasat kes.
Kenaikan cukai perkhidmatan 8% beri kesan kos operasi, unjuran pendapatan Nestle Malaysia dikurangkan
Perbelanjaan operasi bagi 2024 juga diramal bertambah lagi susulan rasionalisasi bahan api yang berkemungkinan dilaksanakan.
Dua sahabat maut dilanggar bas
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
25 terbunuh bas terjunam gaung di utara Peru
Bas antara negeri itu membawa 50 penumpang apabila insiden itu berlaku kira-kira 10.10 malam waktu tempatan.
Jepun, Uzbekistan berentap final Piala Asia B-23
Pasukan yang kalah dalam penentuan tempat ketiga itu akan menentang Guinea yang berada pada kedudukan keempat.
Che'gu Bard tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru berdepan tuduhan lagi
Beliau yang hadir bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, dijangka berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948.
Niaga AWANI: KWSP: Melestari kehidupan persaraan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikatakan bukan satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab dari segi menambah baik kehidupan masyarakat. Namun KWSP telah memperkenalkan Akaun Fleksibel dan berkuat kuasa mulai 11 Mei 2024. Bagaimana pengurusan persaraan selepas ini dan apakah pendekatan terbaik bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat?
Bekas cef kerabat diraja Arab Saudi tawar menu sarapan ‘kayangan’ pada harga mampu milik
Walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan Cef Salim adalah setanding.