DI luar kesedaran ramai, segelintir daripada kita sering mengalami penyakit gastrik. 

Gastrik bukanlah sesuatu yang pelik, namun, apa yang menghairankan ialah penyakit itu seakan tahu bila masanya untuk 'menyerang' seseorang atau lebih tepat sering hadir di bulan Ramadan.

Bukan semua, tetapi sejumlah kecil daripada kita pasti akan melalui pengalaman yang pahit di bulan puasa kerana diserang gastrik, sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu untuk menjalani Rukun Islam ketiga itu seperti orang lain. 

Berikutan penyakit gastrik sangat popular di bulan Ramadan menyebabkan timbul persepsi bahawa ia 'penyakit bermusim'.

Namun, benarkan ia masalah bermusim sehingga menjejaskan individu terbabit untuk menjalankan ibadah puasa?

Bagi Pakar Pemakanan Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Norazmir Md Nor, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa gastrik adalah penyakit yang hanya muncul pada bulan tertentu.

Tegas beliau, ini kerana individu yang berdepan masalah tersebut boleh melatih diri termasuk membuat persiapan sebelum tiba bulan Ramadan.

"Saban tahun bila mana bulan puasa, jadi pesakit gastrik ini akan 'muncul' dalam kalangan rakyat kita.

"Sepatutnya mereka boleh berlatih, maksudnya kenapa saya kata macam itu kita boleh bermula sebelum bulan Ramadan lagi dengan berlatih puasa sunat untuk tengok kemampuan diri untuk berpuasa.

"Jadi, ya saya setuju (gastrik bukan penyakit bermusim). Kita tak boleh katakan gastrik ini bermusim sebab kita boleh latih perut, dan kemampuan kita untuk menghadapi bulan Ramadan. Sebab saya rasa isunya di sini ialah tentang cara dan kaedah pemakanan kita, itu yang perlu dititik beratkan," katanya kepada Astro AWANI. 



Gastrik | Bukan penyakit bermusim, boleh latih berpuasa


JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Norazmir (gambar) berkata gastrik berlaku kerana keradangan pada sistem perut berikutan penghasilan enzim yang berlebihan, dan mengakibatkan rasa pedih dan sakit pada bahagian tersebut.

Beliau menambah, jika mengikut saranan pakar perubatan, penyakit gastrik boleh diatasi pada bulan Ramadan, sekali gus membolehkan individu terbabit mengerjakan ibadah di bulan suci itu.

"Malah, kanak-kanak pun berlatih untuk berpuasa. Mereka (pesakit gastrik) pun boleh berlatih.

"Jadi, saya tak rasa bilangan pesakit ataupun golongan ini (sepatutnya) meningkat di bulan Ramadan. Saya rasa lebih mereka mencari peluang dan ruang menggunakan alasan gastrik untuk tidak berpuasa. Sebaliknya, kita kena mengejar kelebihan di bulan Ramadan ini untuk membuat amalan," ujar Norazmir lagi.


PEMAKANAN DAN RAWATAN

Mengulas lanjut, Norazmir berkata gastrik berlaku kerana keradangan pada sistem perut berikutan penghasilan enzim yang berlebihan, mengakibatkan rasa pedih dan sakit pada bahagian tersebut.

Jelas beliau lagi, keadaan itu boleh menimpa mana-mana individu tanpa mengira faktor usia.

Justeru, Norazmir berkata pengambilan makanan yang bersesuaian seperti kalori yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka adalah penting untuk mengelakkan gastrik berlaku pada bulan Ramadan.

"Untuk membekalkan tenaga berpanjangan, kita galakkan makanan yang tinggi serat untuk memberikan rasa kenyang yang berpanjangan dan kandungan makanan itu kena rendah indeks glisemik.

"Apabila ia rendah indeks glisemik, jadi lambat tindak balas dalam perut untuk dicernakan (dan mengelakkan) gula dalam darah meningkat. Bila gula dalam darah meningkat, (seseorang itu) jadi lagi cepat lapar," jelas beliau.

Selain itu, beliau menyarankan pengambilan air kosong yang mencukupi ketika waktu bersahur bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi dan tidak minum minuman yang mengandungi kafein tinggi.

"Elakkan juga makan makanan yang pedas, berminyak, dan makanan yang tinggi kandungan garam. Ini kerana makanan yang tinggi kandungan garam menyebabkan kadar penyerapan air lagi tinggi dan kita akan rasa cepat haus," katanya.

Dalam masa sama, Norazmir menasihatkan agar pesakit menjalani pemeriksaan kesihatan bagi meneliti tahap gastrik yang dialami.

Ujarnya, sekiranya penyakit tersebut boleh memudaratkan jika seseorang itu berpuasa, maka mereka perlu mendapatkan saranan daripada pakar kesihatan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.