Walaupun sambutan terhadap cosplay di Malaysia tidaklah semeriah di Jepun, namun ia tetap mempunyai penggemar di negara ini.

Sebagai usaha untuk menyuburkan budaya itu di sini, para peminat cosplay tempatan buat julung kalinya menganjurkan perjumpaan antara mereka.

Program dikenali sebagai Cosplay Commuter itu dianjurkan sebuah kumpulan komuniti dikenali sebagai Magic Rain untuk membolehkan pemainnya bertemu dan mengambil bahagian dalam enam aktiviti di enam stesen Transit Aliran Ringan (LRT), bermula di stesen LRT Ara Damansara.

Kira-kira 500 peserta memeriahkan program itu semalam dengan memakai pakaian unik masing-masing yang diilhamkan daripada watak dalam siri animasi dan permainan seperti Naruto Shippuden, Lolita, Saber Rose dan Cardcaptor Sakura.

Pengasas Magic Rain, CM Char, berkata program itu bertujuan mengembalikan kemeriahan cosplay yang pernah wujud di Malaysia pada awal tahun 2000.

"Satu daripada sebab utamanya ialah kerana saya berpendapat landskap animasi, komik dan permainan (ACG) di Malaysia boleh dikatakan tidak banyak berubah, asyik dengan acara dan aktiviti serupa sahaja.

"Dengan menganjurkan acara ini, saya harap akan lahir unsur baharu dan menyegarkan bagi landskap ACG," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Menurut beliau, ACG dan cosplay kini semakin berkembang berikutan peningkatan jumlah aktiviti di pusat beli-belah dan pawagam.

"Pada asasnya, ia bersifat tematik dan kini, beriikutan terdapat banyak watak aksi yang dipadankan daripada filem, aktiviti cosplay menjadi semakin menyerlah," katanya.

Char berkata kumpulan itu merancang untuk menganjurkan aktiviti setiap tahun dengan lebih banyak ciri dan aktiviti baharu diperkenalkan.

"Untuk hari ini, kami perkenalkan enam aktiviti seperti Photo Stop, Maid Garden, Music Mania, Jun Ken Pon, My Cosplay Story dan permainan di mana semua pemenang akan mendapat hadiah," katanya.

Wan Nur Hidayah Wan Abdul Hadi, 20, yang mengenakan pakaian Totoro bagi meniru watak dalam filem 'My Neighbour Totoro', berkata program itu membantu menghimpunkan pemain cosplay daripada pelbagai kawasan untuk berkongsi idea serta minat.

"Saya meminati cosplay sejak berusia 12 tahun, tapi saya malu dan takut kepada persepsi orang ramai. Pada 2012, saya menghadiri Comic Fiesta dan di situ, saya bertemu dengan pemain cosplay yang berkongsi minat yang sama. Saya sungguh gembira kerana akhirnya, saya terjumpa juga seseorang yang turut meminati cosplay," katanya.

Mohd Firdaus Mohd Sabri, 20, yang meniru pakaian Naruto dalam siri animasi terkenal Jepun, berkata dia meminati cosplay sejak berusia 17 tahun.

"Kawan memperkenalkan saya kepada cosplay dan sejak itu, saya belajar membuat pakaian sendiri, bersolek dan memakai wig untuk kelihatan sama seperti watak yang ingin saya tiru," katanya.

Menururt pemuda ini, harga pakaian bergantung pada jenis watak dan sekiranya pemain mampu mencipta pakaian sendiri, ia membantu mereka menjimatkan wang dan banyak kos lain.

Seorang pemain cosplay yang ingin meniru watak Sakura Kinomoto dalam siri Cardcaptor Sakura dan hanya ingin dikenali sebagai Toilerru Ahiru pula berkata acara itu mempunyai keunikan kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk bergerak dari satu tren ke satu tren, di samping berpeluang untuk bergaul dengan pemain cosplay lain dan orang ramai.

-- BERNAMA