GAYA HIDUP
Dikir Barat perlu penjenamaan semula, bebas tanggapan negatif

Elemen tradisional dikir barat perlu terus dihargai dan disemarakkan bagi 'membersihkan' tanggapan negatif tertentu. - Gambar fail Bernama
TUMPAT: Industri dikir barat tempatan memerlukan penjenamaan semula agar kekal relevan dan bebas daripada tanggapan negatif terutamanya selepas penahanan seorang penyanyi dikir barat moden di Thailand baru-baru ini.
Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkata, insiden itu adalah di luar bidang kuasa industri kerana berlaku di luar negara namun tetap memberi 'tempias' kepada arena dikir barat secara umum.
"Kita akui apa yang berlaku melibatkan penyanyi dikir barat 'remix', bukan pendikir asli, malah pendikir tradisional masih mengekalkan penggunaan peralatan dan elemen seni warisan sebenar.
"Reputasi mereka tidak terjejas kerana khalayak sudah dapat membezakan antara yang asli dan moden," katanya kepada pemberita selepas Program Kacha Sugho MADANI di Pantai Suri, di sini, pada Khamis, yang turut dihadiri Ketua Cabang PKR Tumpat, Zamakh Sari Ibrahim.Beliau berkata, kemunculan dikir barat versi moden yang banyak dimainkan di kelab malam serta tular di media sosial seperti TikTok turut menimbulkan pelbagai persepsi terhadap golongan penggiat dikir barat.
Ayob yang juga Naib Presiden Music Malaysia berkata, beliau tidak menyokong perkembangan dikir barat moden atau 'remix' yang kini sudah menjadi trend namun menyedari perkara itu di luar kawalannya dan merupakan permintaan atau cita rasa pasaran.
Beliau bagaimanapun menegaskan, elemen tradisional dikir barat perlu terus dihargai.
Sehubungan itu, pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Dikir Barat Negeri Kelantan (PENDIKIR) akan menganjurkan Program Bakat Pendikir 0.3 sebagai kesinambungan daripada Bakat Pendikir 0.1 dan 0.2 yang pernah dijalankan di Kelantan sebelum ini.
"Jika Dikir 0.1 dan 0.2 lebih kepada usaha mencungkil pelapis baharu dalam kalangan belia, Dikir 0.3 akan lebih besar skalanya dan memfokuskan kepada pameran kesedaran bahaya dadah dan motivasi kepada anak muda.
"Kita merancang melaksanakan program itu di luar Kelantan seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor," katanya sambil menambah program berkenaan turut mendapat sokongan dana daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Ayob, persepsi bahawa industri dikir barat hanya eksklusif kepada rakyat Kelantan perlu diubah agar lebih ramai masyarakat luar turut menghargai seni budaya tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami