China janji sumbang US$100 juta bantu Palestin tangani krisis kemanusiaan di Gaza

Xi berkata dunia hari ini "jauh daripada aman" dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau. - Gambar fail/Reuters/Abd Elhkeem Khaled
ISTANBUL: Presiden China Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan berjumlah US$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Presiden China Xi Jinping menjanjikan bantuan US$100 juta kepada Palestin untuk meredakan krisis kemanusiaan di Gaza.
- China dan Perancis akan bekerjasama mencari penyelesaian adil terhadap isu Palestin.
- Bantuan China akan digunakan untuk pembinaan semula di Gaza demi memperbaiki keadaan kemanusiaan penduduk Palestin.
Xi berkata dunia hari ini "jauh daripada aman" dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau.
"China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata pada Jumaat bahawa bantuan tersebut akan digunakan untuk kerja pembinaan semula pascakonflik bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
"China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Semenanjung Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan penyelesaian dua negara," kata Lin pada sidang akhbar di Beijing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


