Biarpun telah melakukan persiapan yang begitu rapi, namun pasukan Fnatic Defence Of The Ancient 2 (DOTA2) hanya mampu meraih kedudukan nombor enam dalam Kejohanan The Manila Major.

Kurang komunikasi dan banyak melakukan kesilapan peribadi, dilihat sebagai antara punca kumpulan ini gagal mensasarkan kedudukan tiga teratas dalam kejohanan ini.

Menurut pengurus pasukan, Eric Khor Wei Soon, dalam kejohanan kali ini, Fnatic hanya tewas kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan gergasi China, Newbee, dan kumpulan pilihan kejohanan ini, iaitu Liquid.

Jelas Eric, Fnatic tidak menunjukan corak permainan yang optimum dalam kejohanan kali ini.

“Sudah tentunya berada di kedudukan nombor enam dalam kejohanan bukanlah satu keputusan yang ideal, seperti yang kami mahukan.

“Kami sebenarnya telah melakukan banyak persiapan bagi menghadapi dua kumpulan ini (Newbee dan Liquid), memandangkan kami pernah berada dalam kumpulan yang sama bersama mereka.

“Namun pergerakan corak permainan kami tidak berada di paras yang optimum. Dalam kejohanan kali ini banyak kesilapan peribadi dilakukan, sehingga mengganggu prestasi pasukan, dan saya rasa itu punca kekalahan kami,” tambahnya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Kejohanan The Manila Major, The Mall of Asia Area, di sini pada Sabtu.

Pasukan Fnatic terdiri daripada Chai Yee Fung, yang terkenal dengan gelaran nama Mushi, Khoo Chong Xin (Ohaiyo), Adam Shah (343), Yeik Nai Zheng (Midone), dan seorang pemain Filipina iaitu Djardel Jicko Mampusti (DJ).


Bagi Ohaiyo, Pemain Offlane Fnatic, beliau menyifatkan komunikasi antara pemain perlu diperkukuhkan lagi demi pasukan, selain percaturan strategi baru perlu dilakukan bagi kejohanan yang akan datang.

“Saya, Mushi dan 343 (Adam Shah), kami akan berbincang antara kami selepas habis perlawanan namun bagi saya, ianya satu cabaran untuk berkomunikasi dengan DJ dan MidOne kerana mereka jarang untuk menyertai perbincangan kami.

“Jadi kami perlu mengadakan perbincangan bersama-sama untuk meningkatkan prestasi pasukan,” tambah Ohaiyo.

Jelas Ohaiyo, ini adalah antara barisan pasukan terbaik Fnatic, yang pernah beliau sertai. Beliau berkata : “Saya mempunyai yang keyakinan untuk tahun ini. Cuma kami kekurangan strategi yang terbaik untuk mengatasi pihak lawan.

Kejohanan Manila Major di The Mall of Asia Arena yang berlangsung sejak 7 Jun sehingga hari ini, menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$3 juta (RM12.2 juta).

Ikuti saluran Every Good Game Network (eGG Network) bagi perkembangan terkini sukan elektronik (eSports) 24 jam sehari, menerusi Astro dan Astro on the Go di saluran 808.