KETIKA 'melepak' bersama seorang rakan di sebuah kafe di sekitar ibu kota, perbualan kami rancak bercerita mengenai kehidupan baharunya di Rawang selepas dia membeli sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan itu.

Kata Maya, kehidupannya sekarang dirasakan sudah lengkap dan sangat gembira kerana akhirnya berjaya juga memiliki rumah idaman pada umur pertengahan 30-an selepas sekian lama mencari.

Apatah lagi, ia rumah teres dan bukannya jenis bertingkat!

"Aktiviti aku sekarang ini, asyik melayari saja mana-mana konsep dekorasi rumah di Instagram dan Facebook. Rasa teruja sangat nak hias rumah sendiri.

"Macam-macam konsep ada tapi aku paling suka konsep kontemporari," katanya semasa perjumpaan kami baru-baru ini sambil menunjukkan beberapa gambar kepada saya.

Bagaimanapun, sedang kami asyik menatap paparan skrin telefon pintar Maya yang memperlihatkan kepelbagaian hiasan rumah, dia secara tiba-tiba mengeluh.

"Kau dah kenapa? Tadi gembira sangat, tak habis-habis bercerita pasal rumah baru, nak buat tu, nak buat neh. Sekarang dah monyok," soal saya yang hairan dengan sikapnya yang berubah begitu sahaja.

Menurut Maya, dia sudah banyak kali 'terlepas' komitmen menabung selepas hampir setahun memiliki rumah baharu. Ada sahaja yang hendak dibayar dan dibeli, malah akaun simpanannya juga semakin menyusut.

"Dulu bolehlah aku simpan dalam RM200 sebulan tetapi sekarang hendak simpan RM50 pun susah. Dah banyak kalilah aku 'skip' sejak duduk rumah baru sebab duit belanja asyik tidak cukup selepas tolak hutang.

"Bayar bulanan rumah saja dah lebih RM1,000, tak termasuk lagi hutang kereta dan kos pengangkutan nak ke pejabat di KL. Dengan gaji RM3,000 dan tolak itu, tolak ini, berapalah yang tinggal? Memang tak cukuplah nak menabung," katanya.

Cara berbelanja

Bagi mereka yang tidak mengenali Maya, mendengar keluhannya sahaja mungkin boleh menimbulkan persepsi bahawa dia seorang yang suka bergaya mewah atau boros berbelanja sehinggakan tidak mampu menabung walaupun RM10!

Namun, gadis kelahiran Shah Alam, Selangor, yang saya kenali sejak enam tahun lepas ini adalah seorang yang 'bersederhana' dalam membeli barangan dan bukanlah jenis yang gemar menghabiskan duit semata-mata untuk tampil bergaya.

Malah, bajunya juga bukanlah daripada koleksi berjenama dan kereta yang digunakan pun hanyalah kereta tempatan.

Ini membuatkan saya tertanya-tanya adakah benar gaji sederhana atau kecil yang diterima seseorang individu itu menyukarkan mereka untuk menyimpan wang sepertimana diperkatakan Maya? Apatah lagi, saya tidak menafikan bahawa kehidupannya nampak agak 'perit' selepas membeli rumah.

Hakikatnya, pada saat ramai yang mengeluh dan memberikan alasan gaji kecil mahupun sederhana sebagai halangan utama mereka untuk menabung berlainan pula dengan satu laporan akhbar yang disiarkan pada akhir tahun lepas.

Benarkah ramai rakyat Malaysia masih tidak mampu menyimpan wang?  - Gambar fail

Hutang kad kredit

Shamsuddin Kadir, seorang pakar kewangan yang telah berkhidmat dalam bidang tersebut selama 17 tahun dipetik berkata hasil daripada tinjauan seminar kewangan yang diadakan sebelum ini mendapati, ada individu yang bergaji sehingga RM25,000 sebulan tetapi masih lagi 'gagal' menyimpan selain ada hutang kad kredit mencecah RM400,000!

Semestinya ia bukanlah satu jumlah yang kecil dan agak menyedihkan kerana hal ini berlaku adalah disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang terlalu gemar menjadikan gaya hidup mewah sebagai matlamat kepuasan dalam hidup mereka.

Bagi golongan ini, keutamaan memenuhi nafsu kehendak pada masa ini lebih dititikberatkan berbanding mengambil peduli akan kepentingan penabungan awal dalam menjamin kesejahteraan masa hadapan yang lebih indah.

Justeru tidak menghairankanlah, apabila beliau melihat trend menyimpan wang dalam kalangan mereka yang berumur antara 20 hingga 60 tahun adalah sangat kritikal.

Jadi, di mana silapnya?

Mereka yang 'bergaji kecil, sederhana', sibuk bising tidak dapat menabung kerana duit diterima tidak setimpal untuk menampung kos kehidupan sedangkan golongan yang bergaji besar dengan puluhan ribu ringgit sebulan pun masih ada lagi gagal menyimpan.

Ini membuatkan saya terfikir bahawa isu gaji kecil atau sederhana mahupun tinggi bukanlah punca utama mengapa masih ramai yang sukar mengamalkan budaya murni ini dalam kehidupan mereka.

Tetapi, ia semuanya berbalik kepada kejahilan atau kurangnya pengetahuan seseorang individu itu dalam aspek pengurusan kewangan sehingga ada yang masih mudapun sudah diisytiharkan muflis.

Dilaporkan sebanyak 294,000 rakyat Malaysia terlibat dalam kes kebankrapan yang aktif disebabkan sewa-beli, kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman sosial.

Malah berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi mendapati 70 peratus daripada kes kebankrapan membabitkan mereka yang berumur 35 hingga 45 tahun dan dianggarkan 18,000 hingga 20,000 individu diisytiharkan bankrap disebabkan pelbagai punca dalam masa setahun.

Kerana itulah, amat penting bagi setiap daripada kita melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan selain menggiatkan kembali amalan menabung dengan sistematik dalam diri setiap individu.

Kos sara hidup

Mungkin ada beranggapan kos sara hidup menyebabkan ada sesetengahnya tidak mampu menabung. Hal ini adalah berpunca daripada tanggapan sesetengah orang bahawa menabung itu hanya ketika ada wang lebih atau memerlukan sejumlah wang yang besar.

Begitu jugalah dengan Maya. Dia merasakan untuk menabung perlulah sekurang-kurangnya RM100 ke atas dan bukannya bawah daripada jumlah itu.

Hakikatnya, inilah kesilapan ramai pihak yang gagal menghayati konsep berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit yang telah diterapkan sejak zaman kita tadika lagi.

Menyedari akan kepentingan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan satu insentif khas iaitu Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) menerusi Bajet 2018 yang bertujuan menggalakkan budaya menabung.

Di bawah ADAM50, bayi yang lahir mulai 1 Jan, 2018 hingga 31 Dis, 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 menerusi unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) (bagi bumiputera) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) (bukan bumiputera) selagi didaftarkan dalam tempoh setahun daripada tarikh kelahiran.

Dana pertama dalam sejarah negara ini bertujuan mengalakkan simpanan peribadi ibu bapa untuk anak mereka di mana simpanan hanya boleh dikeluarkan selepas anak itu mencapai umur 18 tahun.

"Sebab kita nak galakkan minda rakyat supaya menyimpan untuk masa depan. Ramai orang kita yang tidak menjangka keperluan, anak kita punya keperluan ...(bila dah ada akaun) kita boleh menyumbang sikit-sikit, lama kelamaan bila anak kita masuk universiti nanti, cukup keperluan (dari segi kewangan)," kata Najib dalam satu petikan akhbar.

Hakikatnya, mungkin nilai yang disimpan hanyalah sekadar 10 sen, tetapi kalau ia disimpan setiap hari secara sistematik, jumlah yang dilihat hanya sebelah mata ini sebenarnya mampu juga memberi 'sinar' pada kemudian hari.


* Artikel dari Bernama ini adalah hasil tulisan Sakini Mohd Said, berdasarkan pemerhatian peribadinya.

** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.