KUALA LUMPUR: Kes gejala anak kecil lambat bertutur menunjukkan peningkatan ketara pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kata seorang pakar pediatrik.
Tanpa menyatakan statistik, Dr Kenneth Looi Chia Chuin menjelaskan trend itu dikesan berdasarkan pemantauannya terhadap kes yang diterima, dan antara penyebab utama gejala ialah keterdedahan kepada peranti secara melampau.
"Ketika PKP, kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah dan bagi mengelakkan si anak mengganggu mereka ketika bekerja, si anak dibekalkan peranti agar mereka leka dengan permainan dalam talian, video dan sebagainya.
"Ini adalah satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa terutama membabitkan anak berusia bawah 18 bulan, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan anak semuda itu langsung tidak boleh diberikan akses kepada peranti pintar," kongsi pakar perunding pediatrik di Hospital Columbia Asia Cheras itu kepada Bernama.
INTERVENSI PANTAS
Mengulas lanjut, beliau berkata pada peringkat usia itu, kemahiran komunikasi si anak sedang berkembang dan mereka biasanya sudah boleh menutur dan memahami sekurang-kurangnya 10 patah perkataan selain mengenali objek dan lain-lain.
"Jika pada usia itu si anak hanya boleh menuturkan satu atau dua perkataan, maka langkah proaktif perlu diambil segera. Jangan anggap perkara ini normal dan si anak akan lancar bertutur dengan sendiri," katanya.
Pengalaman itu dilalui oleh seorang penjawat awam, Mohd Khirul Mudarikah apabila anak lelakinya Muhammad Adwa Rizqi hanya boleh menyebut beberapa patah perkataan semasa mencapai usia 18 bulan.
"Saya mula perasan dia ada masalah bercakap apabila hanya boleh menyebut dua, tiga perkataan mudah seperti papa dan mama. Bimbang dengan perkara ini, kami bawa dia ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
"Mujurlah kami cepat sedar, dan dengan intervensi pantas termasuk sesi terapi bercakap di hospital, masalah dapat ditangani. Kini pada usia tujuh tahun, dia boleh bertutur dengan baik seperti kanak-kanak seusianya," cerita Mohd Khirul.
PANTAU PERKEMBANGAN
Mengulas lebih lanjut, Dr Kenneth berkata tempoh penggunaan peranti bagi kanak-kanak yang lebih tua pula harus dihadkan - saranan WHO ialah hanya sejam sehari bagi kelompok usia dua hingga tiga tahun.
"Dalam hal ini, ibu bapa perlu mainkan peranan dengan memantau selain menggalakkan si anak beri perhatian kepada perkara lain melalui aktiviti bersama keluarga," katanya.
Pada masa sama katanya ibu bapa harus mengikuti perkembangan kemahiran komunikasi si anak.
Ketika berusia 24 bulan, si anak sepatutnya sudah boleh menguasai antara 20 dan 50 patah perkataan selain mampu menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah seperti "sayang ayah", sementara anak berusia dua hingga tiga tahun pula sepatutnya sudah boleh menuturkan lebih 50 patah perkataan serta membina ayat yang lebih panjang.
"Masalahnya, ramai ibu bapa yang berdepan masalah ini menganggap perkara itu normal dan yakin si anak akan dapat bercakap dengan lancar seiring dengan masa. Mereka tidak tahu bahawa lagi lambat mereka mendapatkan intervensi untuk si anak, lagi jauh si anak ketinggalan dalam aspek komunikasi selain terlepas tempoh kritikal untuk rawatan," jelas Dr Kenneth.
FAKTOR LAIN
Menurut beliau, selain keterdedahan kepada peranti, ada beberapa lagi faktor yang menyumbang kepada gejala anak lambat bercakap, termasuk masalah kesihatan seperti hilang pendengaran, gangguan perkembangan otak seperti palsi serebral atau masalah pergerakan artikulator seperti lidah terikat (ankiloglosia).
"Mungkin juga kerana keturunan, iaitu ada ahli keluarga yang pernah ada masalah lambat bercakap atau gangguan komunikasi atau mengalami sindrom perkembangan seperti gangguan spektrum autisme (ASD) atau Sindrom Down.
Dr Kenneth juga menjelaskan ada perbezaan di antara lambat bercakap dengan masalah bahasa.
Masalah bahasa bermakna si anak sukar menzahirkan atau memahami bukan sahaja percakapan tetapi juga bahasa isyarat dan bahasa tubuh, jelasnya, menambah kedua-dua masalah itu bagaimanapun saling berkait.
Statistik Institut Kebangsaan mengenai Pekak dan Gangguan Komunikasi Lain (NIDCD) pada 2015 menunjukkan prevalens lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak di negara ini ialah antara lapan dan sembilan peratus.
TERAPI
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Perunding Juruterapi Pekerjaan di Well Rehab Centre, Lee Wei Qing berkata masalah lambat bercakap kanak-kanak boleh dirawat dengan kaedah praktikal.
Jelasnya, terapi dimulakan dengan sesi penilaian bagi membolehkan pakar terapi pertuturan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan si anak sebelum mewujudkan garis asas untuk mengukur perkembangan mereka sepanjang terapi.
"Semasa penilaian, komunikasi lisan, nombor serta jenis perkataan dan bunyi yang digunakan oleh si anak akan dinilai. Kemudian, juruterapi akan menyediakan pelan pengurusan terapi untuk ibu bapa bagi mengenal pasti matlamat yang perlu diberi tumpuan dalam program itu," jelasnya.
Menurutnya, setiap pelan disusun berdasarkan kemampuan si anak seperti meluaskan kosa kata dan meningkatkan kefahaman mereka menerusi beberapa kaedah termasuk membaca.
"Kami juga akan membantu menyelesaikan sebarang masalah pendengaran yang berkemungkinan," kata Lee.
LATIHAN DI RUMAH
Bagaimanapun kata Lee, sesi dengan juruterapi sahaja tidak memadai jika ibu bapa tidak membuat latihan bercakap dengan anak di rumah.
"Contohnya, jika anak anda bermasalah untuk menyebut bunyi tertentu seperti 'f', galakkan mereka untuk mengeluarkan bunyi itu dengan sendiri. Apabila bunyi itu sudah dapat dikeluarkan dengan mudah, anda boleh gemblengkan menjadi suku kata seperti 'fi-fi-fi' sebelum membentuk perkataan.
"Ibu bapa juga harus menumpukan pada apa yang boleh dilakukan oleh si anak kerana hal itu juga sepenting tumpuan terhadap perkembangan pertuturan mereka. Puji mereka jika mereka berjaya lakukan sesuatu seperti menyimpan barang mainan atau menggunakan tandas dengan baik," katanya.
Namun kata Lee, kebimbangan utama sekarang ialah kebanyakan ibu bapa didapati kurang bercakap dengan anak-anak sedangkan si anak akan dapat belajar bertutur dengan baik apabila sentiasa diajak bercakap.
"Selain memastikan gangguan 'bunyi digital' pada tahap paling minimum, membacakan buku kegemaran kepada si anak dan kemudian minta mereka bacakan semula kepada anda juga boleh mengukuhkan lagi kemahiran komunikasi. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk anak yang belum boleh membaca, iaitu dengan meminta mereka menerangkan apa yang mereka lihat di dalam buku," katanya.
-- Bernama
Bernama
Fri Feb 04 2022
Antara penyebab utama gejala ialah keterdedahan kepada peranti secara melampau. -Gambar hiasan/Pexels
KPRJ dan Terengganu Inc gabung daya, buka laluan projek transformatif
Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memeterai memorandum persefahaman.
Kebakaran besar hutan di Oregon bersaiz lebih separuh keluasan Rhode Island
Kebakaran hutan besar di negeri Oregon, telah merebak kira-kira 600 batu persegi (1,554 km persegi), yang saiznya melebihi separuh daripada keluasan tanah Rhode Island.
Saintis temui bukti oksigen dihasilkan di dasar laut dalam oleh 'bateri semula jadi'
LAUT menjadi antara penghasil oksigen paling banyak di atmosfera. Selama ini saintis percaya oksigen ini dihasilkan oleh tumbuhan laut menerusi proses fotosintesis.
Jenazah Siti Zaharah selamat dikebumikan di Shah Alam
Jenazah bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam hari ini.
Paris 2024: Guna dron intai latihan lawan, Kanada singkir ketua jurulatih wanita
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita Kanada, Bev Priestman, disingkirkan daripada pasukan bola sepak Olimpik Paris negara itu kerana skandal yang melibatkan penggunaan dron untuk mengintip lawan.
Jangan lakukan pembakaran terbuka semasa musim panas sekarang - Bomba
JBPM Zon Sibu mengingatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering yang melanda Sarawak sekarang.
Valor Fun Run tampil lorong berasingan buat wanita
Bagi meraikan amalan gaya hidup sihat, serta bahang Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebuah acara larian The Valor Fun Run 2024 diadakan di Putrajaya pada Sabtu, bukan sahaja untuk mengalakkan aktiviti bersukan, tetapi mengalakkan inklusiviti melalui pengenalan lorong berasingan untuk keluarga dan peserta wanita
Sebuah acara larian The Valor Fun Run 2024 diadakan di Putrajaya pada Sabtu, bukan sahaja untuk mengalakkan aktiviti bersukan, tetapi mengalakkan inklusiviti melalui pengenalan lorong berasingan untuk keluarga dan peserta wanita
Tawaran dua tahun awal demi kebaikan jemaah musim seterusnya
Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman maklumkan, antara pembaharuan akan diperkenalkan Lembaga Tabung Haji, TH nanti termasuk mengeluarkan surat tawaran mengerjakan haji dua tahun lebih awal
Waspada penipuan pakej haji, elak langgar fatwa
Pada musim haji akan datang, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak tertipu dengan kuota yang diberikan selain pengendali tunggal di Malaysia oleh tabung haji.
Ini kerana menurut Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, tindakan memasuki tanah haram tanpa visa haji yang sah jelas melanggar fatwa, dan ibadahnya tidak dibenarkan dalam agama.
Ini kerana menurut Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, tindakan memasuki tanah haram tanpa visa haji yang sah jelas melanggar fatwa, dan ibadahnya tidak dibenarkan dalam agama.
Isu pendidikan, cabaran negara dibincang dengan Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia - Fadhlina
Isu pendidikan dan cabaran membina negara khususnya mempertahankan nilai, moral dan agama dibincangkan antara KPM dan Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia.
Gejala kanak-kanak lambat bercakap meningkat, keterdedahan peranti antara punca - Pakar
Ini adalah satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa terutama membabitkan anak berusia bawah 18 bulan.