Tarikh 1 April sememangnya tidak asing lagi dengan Hari Gurauan April Fools’.

Satu jenama besar yang sentiasa mahu 'mengenakan' pengguna mereka adalah Google. Beberapa jam yang lepas, Google telah melancarkan Google Nose Beta dan Gmail Blue. YouTube, yang dimiliki oleh Google, juga ada pengumuman penting untuk peminat-peminat mereka.

Berikut adalah kononnya ciri-ciri ‘produk’ terbaru Google:

Google Nose Beta

Enjin carian terkenal dunia itu telah melancarkan Google Nose Beta, membenarkan pengguna untuk 'menghidu' benda-benda seperti ‘biskut’, ‘tong sampah’, ‘jeans yang basah’, ‘kertas’ dan macam-macam lagi.

“Carian Google merupakan platform yand luas, dan anda boleh mencari teks, pengetahuan am, gambar, buku, video tetapi kami telah terlepas pandang pengalaman yang paling penting,” kata pengurus produk Jon Wooly yang dimuat naik di laman web khas Google Nose Beta.

Pautan ke Google Nose Beta ada di laman hasil carian. Apabila diklik, pengguna akan dibawa ke laman web khas yang direka untuk memberi pengguna maklumat tentang Google Nose Beta. Apabila diklik ‘Try Google Nose Beta’, pengguna akan dibawa semula ke laman hasil carian dan kononnya boleh ‘menghidu’ benda-benda yang terdapat di sebelah kanan laman web. Pengguna juga boleh berkongsi aroma berkenaan melalui Google+



Gmail Blue

Google telah mengambil masa selama enam tahun untuk melancarkan emel yang mempunyai tema satu warna, iaitu warna biru.

Butang, teks dan pautan kesemuanya berwarna biru.

“Ianya Gmail, hanya biru,” kata pengurus projek Richard Pargo di dalam video yang dimuat naik.



YouTube

Menerusi satu video, YouTube memberitahu pengguna bahawa laman web itu akan tutup dan dibuka semula selepas satu dekad lagi.

Pihak YouTube bertindak demikian untuk menonton kesemua video yang telah dimuat naik untuk memilih video terbaik yang akan diumumkan pada tahun 2023.

“30,000 krew teknikal akan menonton kesemua klip dan akan diumumkan ketika laman YouTube kembali online pada tahun 2023,” kata seorang pelakon yang berlakon sebagai pengarah pertandingan.

Ketua pegawai eksekutif YouTube Salar Kamangar turut membuat kemunculan di dalam video yang sama.



Apa pula pendapat anda? Adakah gurauan google ini kena pada tempatnya? Kongsi pandangan bersama Astro Awani.