GV Ride galak komuniti berkembang, tawar insentif RM200

Kabeer berkata, GV Ride melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai Get Driver Program yang menawarkan ganjaran tunai RM200 kepada pemandu yang berjaya merujuk pemandu atau penumpang baharu ke platform berkenaan. - Gambar Astro AWANI
SUBANG JAYA: Pengendali perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai Get Driver Program yang menawarkan ganjaran tunai RM200 kepada pemandu yang berjaya merujuk pemandu atau penumpang baharu ke platform berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, program itu diperkenalkan bagi memperluas komuniti GV Ride selain memberi peluang pendapatan tambahan kepada pemandu sedia ada.
“Melalui program ini, pemandu boleh merujuk rakan untuk menjadi pemandu GV Ride di kawasan Subang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kabeer memaklumkan, pemandu yang merujuk dan pemandu baharu masing-masing akan menerima ganjaran RM200 apabila pemandu baharu itu melengkapkan 30 perjalanan dalam tempoh 30 hari.
“GV Ride turut membenarkan pemandu merujuk penumpang baharu, di mana ganjaran RM200 akan diberikan apabila penumpang tersebut menyiapkan 30 perjalanan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Tambah Kabeer, pemandu baharu mestilah pemandu pertama kali dan hanya sah jika mereka beroperasi di kawasan Subang Jaya dan ganjaran akan dikreditkan ke dalam e-dompet GV Ride dalam tempoh tujuh hingga 14 hari bekerja selepas proses pengesahan.
Mengulas lagi, GV Ride berhak membatalkan sebarang rujukan yang disyaki melibatkan manipulasi atau penipuan.
"Pelancaran program itu selaras dengan komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan mampu membina ekosistem mobiliti yang lebih kukuh," katanya.
Sementara itu, GV Ride menggalakkan lebih ramai pemandu dan penumpang menyertai komuniti syarikat itu agar manfaat dan peluang pendapatan dapat dikongsi bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


