Golongan wanita diingatkan supaya tidak memuat naik gambar-gambar mereka dalam keadaan kurang sopan di media sosial bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa eksploitasi oleh pihak lain.

Peringatan itu dibuat oleh Malaysian Association of Women Empowerment (MyWomen) berikutan banyaknya kes gadis-gadis di negara ini yang kini lebih berani memuat naik gambar-gambar seumpama itu di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Presiden MyWomen Datuk G. Geethanjali berkata perbuatan mereka sangat membimbangkan.

Sehubungan itu MyWomen, sebuah badan bukan kerajaan, pada Sabtu melancarkan program 'Social Media Ethics How Much is Too Much' di bangunan MIC di sini dalam usaha membimbing golongan wanita tentang tatacara menggunakan media sosial, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu.

MyWomen bekerjasama dengan Puteri MIC untuk menjayakan program berkenaan. Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.