SAMBUTAN Hari Krismas tidak sah tanpa kemeriahan memberi dan menerima hadiah.

Seorang warga Britain yang beragama Islam menggunakan hari tersebut untuk memberi hadiah kepada golongan gelandangan.

Pengalaman Nubaid Haroon, 23, dikongsi menerusi satu video di akaun YouTube beliau, Rambo Vlogs.

“Saya tidak menyambut Krismas kerana latar belakang saya. Apabila tibanya Krismas, semua orang memberi hadiah. Namun kadang-kadang kita lupa ada orang di luar sana tidak berkesempatan untuk menyambut Krismas bersama orang tersayang.

“Hari ini, saya cuma ingin meletakkan senyuman di wajah mereka,” kata Nubaid pada awal video itu.

Video berdurasi 3 minit 45 saat itu menunjukkan Nubaid memberikan selimut kepada beberapa individu.

Turut disertakan adalah penjelasan ringkas bagaimana mereka boleh berada di kaki lima.

Sumber: YouTube/Nubaid Haroon

Antara yang menerima hadiah daripada Nubaid adalah Teddy, 47, yang sudah 12 tahun menjadi seorang gelandangan sejak kehilangan pekerjaannya.

Seorang lagi adalah David, 28, yang sudah tiga tahun tinggal di kaki lima.

Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang tentera namun tidak mendapat bantuan kerajaan.

“Ada orang yang tidak layak untuk berada di sini.

“Namun, saya berharap saya dapat membuat beberapa individu tersenyum dan agar mereka tahu mereka mempunyai teman,” kata Nubaid ketika mengakhiri video.

Setakat ini, video itu menerima 82,971 views dan pelbagai reaksi positif.

“Terima kasih kerana melakukan video ini secara terbuka dan menunjukkan kepada dunia tentang Islam yang sebenarnya dan bagaimana orang Islam suka membantu,” kongsi Lulu Alo.

Seorang lagi pengguna YouTube pacxam11 berkata, "Kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk membiayai peperangan yang tidak berkesudahan, tetapi tiada wang untuk rakyat mereka sendiri yang menderita.

"Kos peluru berpandu atau apa sahaja sudah cukup untuk memberi makan kepada ribuan orang seperti ini."