LIFESTYLE
Kesihatan mulut: Komponen penting keyakinan, integrasi dan kejayaan akademik

Kesihatan mulut sering diabai dalam perbincangan mengenai keamanan dan kesejahteraan, walaupun ia memberi kesan besar terhadap pelbagai aspek kehidupan. - Gambar hiasan/Unsplash
Mewakili Malaysia di South Asia Summit for Education on Peace 2025 yang berlangsung di United Nations Convention Centre, Bangkok, Dr Venkates Rao menyampaikan pembentangan bertajuk Kesihatan Mulut, Kesejahteraan, dan Kesaksamaan Pendidikan: Jalan Menuju Keamanan.
Dalam ucapannya, Dr Rao menekankan bahawa kesihatan mulut sering diabaikan dalam perbincangan mengenai keamanan dan kesejahteraan, walaupun ia memberi kesan besar terhadap pelbagai aspek kehidupan, termasuk harga diri, penyertaan sosial dan pencapaian akademik.
"Kesihatan mulut sering diketepikan dalam perbincangan mengenai keamanan dan kesejahteraan. Namun, kesannya terhadap harga diri, penyertaan sosial, dan prestasi akademik adalah tidak dapat disangkal," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Dr Rao menegaskan keperluan pendekatan pendidikan yang menyeluruh, termasuk kesedaran kesihatan, bagi memastikan setiap individu mempunyai asas untuk berjaya tanpa halangan yang boleh dicegah.Bagi mengukuhkan hujahnya, Dr Rao berkongsi contoh bagaimana masalah kesihatan oral yang tidak dirawat boleh membawa kesan yang meluas.
Beliau menceritakan kisah seorang pelajar perempuan yang menarik diri daripada aktiviti sekolah akibat dibuli kerana keadaan giginya.
"Buli menyebabkan keyakinan dirinya merosot dan menimbulkan kebimbangan sosial. Namun, rawatan pergigian yang tepat pada masanya bukan sahaja memulihkan senyumannya tetapi juga rasa penerimaan dan penyertaannya dalam komuniti," jelasnya.
Dr Rao turut menekankan visi lebih luas sidang kemuncak itu mengenai keamanan, dengan menyatakan bahawa keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik, tetapi juga kewujudan kesejahteraan holistik merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial.
"Pelaburan dalam pendidikan yang menyeluruh, penjagaan kesihatan, dan literasi digital adalah penting untuk membina dunia yang lebih saksama dan aman," katanya.
South Asia Summit for Education on Peace 2025 berakhir dengan mesej yang jelas bahawa keamanan bukan sekadar matlamat pendidikan, tetapi pengalaman yang perlu dipupuk dalam masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami