GAYA HIDUP
Kuala Lumpur, syurga percutian mewah pelancong Arab

Abdullah Al Swwoe bersama rakannya, Faleh (kiri) ketika ditemubual semasa tinjauan mengenai pelancong Arab ke ibu negara di sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas baru-baru ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bukan hanya menawarkan pusat beli-belah bertaraf lima bintang, kemudahan penginapan mewah yang menekankan tahap privasi tinggi turut menjadikan ibu negara sebagai pilihan utama pelancong dari negara Arab.
Lebih menarik, pelancong juga boleh menikmati sajian makanan halal di restoran yang menghidangkan aneka juadah Melayu, Cina, India selain turut menyajikan hidangan berinspirasikan Asia Barat, sekali gus mewujudkan suasana selesa seolah-olah berada di tanah air mereka sendiri.
Berdasarkan statistik terkini Tourism Malaysia, negara menerima ketibaan 51,918 pelawat dari Asia Barat bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 merangkumi dari Arab Saudi, Iran, Iraq, Oman, Syria, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P Manoharan berkata kecenderungan pelawat Arab memilih Kuala Lumpur didorong oleh persekitaran yang menyokong gaya hidup dan budaya mereka termasuk dari segi kemudahan ditawarkan."Restoran Timur Tengah (Asia Barat) di Kuala Lumpur misalnya bukan hanya menyediakan hidangan autentik, malah menyediakan kemudahan tambahan seperti ruangan syisya, alunan muzik Arab, dekorasi bercirikan Asia Barat, pilihan menu dwibahasa (Arab dan Inggeris) serta ruang makan tertutup untuk keluarga.
"Kebanyakan pekerja juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab justeru, mewujudkan suasana selesa dan mesra pelawat," katanya kepada Bernama.

Terkenal dengan julukan Arab Street, kawasan Bukit Bintang seringkali menjadi tumpuan pelawat Asia Barat kerana lokasinya yang strategik dan terletak berdekatan dengan pusat beli-belah seperti Pavilion Kuala Lumpur, The Exchange TRX dan Suria KLCC.
Manoharan berkata dari segi penginapan pula, pelancong Arab lebih mengutamakan privasi dan cenderung memilih penginapan berkonsepkan villa mewah dengan kolam renang sama ada di tingkat atas atau kolam renang peribadi untuk meluangkan masa bersama keluarga.
"Budaya masyarakat Arab sangat menitikberatkan ruang peribadi dan suasana santai bersama keluarga. Oleh itu, konsep bilik dengan kolam renang peribadi dan tanpa gangguan sangat popular dalam kalangan pelawat dari Asia Barat. Malahan, Malaysia menawarkan pengalaman mewah pada kos yang jauh lebih kompetitif berbanding destinasi di Eropah atau Amerika Syarikat," katanya.
Bagi pelancong dari Arab Saudi, Faleh Al Salem Ilyme, suasana mesra Muslim serta keramahan rakyat Malaysia menjadi antara faktor utama dia memilih untuk kembali melancong ke negara ini selepas kali pertama menjejakkan kaki pada 2017.
"Rakyat di sini sangat peramah dan Malaysia ialah sebuah negara yang hebat. Kami juga mudah untuk mendapatkan makanan halal. Disebabkan itu, saya kembali ke Malaysia untuk bercuti. Kali ini, saya dan rakan-rakan berpeluang ke Langkawi dan kami sangat menyukainya," katanya.
Meskipun menghadapi kekangan bahasa, Faleh mengakui perkara itu tidak menghalangnya meneroka pelbagai destinasi menarik kerana terdapat banyak lokasi mesra pelancong di negara ini, selain masyarakat tempatan yang sedia membantu pelancong asing.
Abdullah Al Swwoe, 18, pula berkata dia banyak menghabiskan masa melawat tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur kerana persekitaran yang cukup serasi dan menenangkan selari dengan gaya hidupnya sebagai seorang Muslim.
"Saya memilih Malaysia disebabkan keindahan dan juga institusi pendidikannya. Bukan itu sahaja, terdapat ramai Muslim di sini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami