MUAR: Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di pekan Muar pasti tidak akan terlepas pandang sebuah bangunan kedai berwarna kuning terang yang terletak di Jalan Sisi.
Terpampang di papan tanda "Muar Historia", sepintas lalu premis itu tidak ubah seperti kedai antik menerusi susunan pinggan mangkuk lama di dalam almari kaca, selain mural Laksamana Cheng Ho mengalu-alukan ketibaan pengunjung.
Namun jangan terpedaya dengan dekorasi itu kerana premis berkenaan sebenarnya sebuah restoran yang menawarkan pelbagai hidangan yang sinonim dengan Johor selain menjadi antara katerer kegemaran keluarga diraja Johor.
Uniknya, menikmati hidangan seperti mi bandung Muar, mi rebus dan lontong di Restoran Rabbit Home Muar Historia ini umpama "makan di dalam kelas sewaktu pembelajaran subjek Sejarah".
Ini kerana setiap inci dinding restoran itu dihiasi mural dan tulisan berinformasi tentang sejarah Muar bagi tempoh 1800 hingga 2000, selain susunan barang antik, artifak dan gambar hitam putih tokoh-tokoh ketika era Kesultanan Melayu Melaka memenuhi segenap ruang.
Mengulas dekorasi restorannya yang seakan-akan muzium, James Teo Peng Heng, 45, berkata beliau mahu berkongsi sejarah Muar dengan pelanggan.
"Kita tiada muzium di Muar, jadi dengan mengubah suai restoran ini menjadi tempat menimba ilmu sambil menjamu selera bukan sahaja menawarkan satu kelainan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurut Teo, beliau mengubah suai restoran yang diusahakannya sejak 2002 itu pada 2014 selepas satu pertemuan dengan pengumpul barangan bersejarah di Melaka yang "membuka matanya" selaku peminat sejarah dan pengumpul barang antik.
Tiga bulan siapkan lukisan di dinding
"Ketika kunjungan itu, saya tertarik dengan satu barang antik dan berminat untuk membelinya, namun si pemilik enggan menjual," katanya, membuka cerita.
Menurutnya, si pemilik bertanyakan kepadanya tujuan beliau mahu membeli artifak berkenaan dan beliau gagal memberikan jawapan yang baik sedangkan barang tersebut mempunyai nilai yang tidak terhingga dari segi sejarah.
"Saya (cuma) melihat barang itu sebagai sangat menarik, nampak sangat bersejarah dan mahu membawanya balik. Si pemilik kemudian berpesan kepada saya agar mengenali minat saya dan kemudian memperluas minat tersebut untuk membantu lebih ramai orang di luar sana.
"Ketika itu saya sedar bahawa minat saya lebih kepada meneroka sejarah kerana saya sering tertarik dengan barang-barang bersejarah yang mempunyai seribu satu makna dan cerita di sebaliknya," ujar beliau.
Teo berkata dari situ juga terdetik di hatinya untuk memberikan kelainan terhadap restoran yang diusahakan beliau, selain memperkenalkan makanan warisan Muar kepada pelanggan.
"Saya menghabiskan masa hampir setahun untuk mengumpul data dan maklumat mengenai sejarah Muar dengan merujuk kepada Arkib Negara, persatuan-persatuan sejarah dan muzium, sebelum mengabadikan fakta tersebut di dinding restoran saya," ujarnya, menambah usaha beliau dibantu oleh Persatuan Historia Muar Cultural Work.
Katanya sejarah Muar itu dipaparkan secara kronologi, bermula dengan ketibaan Parameswara hinggalah ke zaman Kesultanan Melayu Johor termasuk era pemerintahan Sultan Johor terkini Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut beliau, Muar merupakan titik permulaan dan pengakhiran Kesultanan Melayu Melaka yang bermula dengan ketibaan Parameswara di daerah itu selepas melarikan diri dari Temasek.
"Parameswara bertapak di sini dan terlebih dahulu cuba membina petempatan di Kota Biawak Busuk dan Kota Buruk di daerah ini. Selepas beberapa lama, Parameswara dan pengikutnya kemudian berpindah dan membina kota baharu daripada timbunan tanah dan kayu di satu kawasan yang kini dikenali Kampung Tanjung Selabu, Mukim Sungai Terap," cerita Teo.
Beliau berkata Kota Biawak Busuk itu masih wujud dan sarang biawak yang dikatakan terletak di jeti sungai di mana Parameswara bertapak ketika tiba di sini juga masih ada.
Cerita beliau lagi, Sultan Mahmud Shah yang merupakan sultan terakhir Kesultanan Melaka, berundur ke Muar selepas empayar Melaka jatuh ke tangan penjajah pada Ogos 1511.
"Malah, Muar satu-satunya daerah di Johor yang ada makam seorang Sultan Melaka yang masih utuh, iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh, selepas makam-makam lain hancur dimusnahkan oleh Portugis," katanya.
Bangga dengan asal-usul kampung halaman
Sebagai anak jati Muar, Teo berasa bangga kerana dapat memperkenalkan sejarah kampung halamannya kepada pelancong tempatan dan juga luar negara, khususnya dari Jepun dan China.
Menurutnya, restoran beliau adalah lokasi persinggahan wajib pengunjung luar, terutama pencinta sejarah.
"Ramai yang tidak tahu bahawa tarian naga yang pertama kali dimainkan oleh kaum Cina berasal dari daerah ini. Malah tarian zapin dan ghazal juga sangat sinonim dengan Muar.
"Ada pengkaji sejarah dari Jepun dan China pernah datang dan menjadikan restoran ini sebagai rujukan mereka tentang sejarah Melayu," katanya, menambah usaha beliau itu turut dipuji oleh pengunjung.
"Ada yang berkata berkunjung ke restoran ini mengingatkan mereka tentang zaman persekolahan selain memperoleh pengetahuan baharu," tambah beliau lagi.
Mahu Muar diiktiraf Tapak Warisan UNESCO
Mengulas perancangan masa depan, Teo berkata beliau berhasrat menaikkan status Muar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kertas cadangan sudah disediakan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Warisan Negara bagi memohon pengiktirafan itu, katanya yang bagaimanapun mengakui usaha tersebut memerlukan kerjasama banyak pihak untuk dijayakan.
"Bagi saya, memang wajar Muar diiktiraf sebagai antara bandar warisan dunia kerana banyak tinggalan sejarah di sini.
"Selain itu, Muar juga menampilkan keharmonian kebudayaan dan warisan tiga bangsa utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India," jelas beliau.
Menurut Teo, beliau juga mahu mengetengahkan Muar sebagai sebuah bandar yang dapat memupuk perpaduan menerusi tinggalan warisan pelbagai kaum, seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
-- BERNAMA / Soon Li Wei
Bernama
Sun Dec 12 2021
Sebagai anak jati Muar, Teo berasa bangga kerana dapat memperkenalkan sejarah kampung halamannya kepada pelancong tempatan dan juga luar negara, khususnya dari Jepun dan China. - Bernama
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
PBB akan undi gencatan senjata segera dilaksanakan
Resolusi itu juga menuntut pembebasan semua tebusan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang.
127 terbunuh dalam dua hari di Sudan
Terbaharu pada Selasa, kumpulan hak asasi manusia, Emergency Lawyers memaklumkan sekurang-kurangnya 20 termasuk 14 orang yang menaiki bas terbunuh di Omdurman, Sudan.
Suspek bunuh CEO bakal mohon esktradisi
Menurut peguam Luigi Mangiyone, Thomas Dickey, pihaknya akan melakukan permohonan itu mengikut peraturan undang-undang perlembagaan.
[TERKINI] Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2.
Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.