Kuala Lumpur: Bersempena dengan hari Kemerdekaan Negara ke-64, McDonald’s Malaysia menganjurkan Karnival Pandu Lalu yang berlangsung di seluruh negara sepanjang bulan ini.

Karnival yang berlangsung di semua 202 buah rangkaian McDonald’s pandu lalu itu juga selaras dengan usaha syarikat dalam mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran bagi segmen tersebut.

Pengarah Kanan Operasi McDonald’s Malaysia, Felina Lim berkata, pihaknya ingin menyemarakkan lagi sambutan tersebut secara selamat dan mudah untuk pelanggan.


“Kami menawarkan pelbagai promosi menarik sempena karnival ini selain aktiviti menyeronokkan di restoran-restoran pandu lalu bagi membolehkan orang ramai mempamerkan kebanggaan mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Dalam memanfaatkan kedudukan sebagai peneraju segmen ini, kami komited untuk meneruskan tawaran pengalaman terbaik kepada para pelanggan di mana sahaja dan pada bila-bila masa,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Menurut Felina, perniagaan pandu lalu menjadi komponen penting syarikat terutama dalam menyediakan perkhidmatan cepat, mudah dan selamat kepada pengguna, khususnya ketika tempoh pandemik COVID-19.

“Kami mempunyai sebanyak 202 restoran pandu lalu di seluruh negara dan tahun ini sahaja McDonald’s Malaysia merancang untuk membuka lagi 20 buah rangkaian pandu lalu.

“Sehingga hari ini, sebanyak 70 peratus cawangan McDonald’s di Malaysia adalah restoran pandu lalu dan menyumbang hampir separuh kepada keseluruhan jumlah jualan syarikat,” ujarnya.

McDonald’s Malaysia merancang untuk membuka lagi 20 buah rangkaian pandu lalu.

Pada hari kemerdekaan, 31 Ogos nanti, McDonald’s Malaysia akan menyambut kibaran Jalur Gemilang dan semangat merdeka dengan memberi sebanyak 60,000 burger McChicken secara percuma kepada para pelanggan yang mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan mereka sebagai tanda semangat kemerdekaan.

Ketika membeli makanan, laungkan "MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!" di kaunter pengambilan Drive-Thru untuk menuntut McChicken percuma. Tawaran ini terhad kepada 300 kereta pertama di setiap restoran.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Karnival Pandu Lalu McDonald’s orang ramai boleh layari laman web rasmi di mcdonalds.com.my.