MENJELANG tarikh 1 Jun 2023 yang akan tiba dalam tempoh dua minggu akan datang, tumpuan rakyat Jordan terutamanya tentu sekali akan terarah pada perkahwinan pewaris diraja negara itu, Putera Mahkota Al Hussein Abdullah dengan rakyat Saudi, Rajwa Khaled bin Musaed bin Saif bin Abdulaziz Al Saif.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, majlis pernikahan dan resepsi pasangan yang sama cantik dan padan itu dijangka dihadiri oleh pemimpin dari seluruh dunia dan diplomat

Pernikahan Hussein dan Rajwa dinantikan ramai selepas majlis penuh spektakular perkahwinan adindanya, Puteri Iman pada Mac lalu.

Berikut apa yang anda perlu tahu mengenai perkahwinan diraja ini yang dipetik dari portal berita Khaleej Times:

Majlis pertunangan

Upacara pertunangan pasangan ini berlangsung di rumah ayah Rajwa Khaled di Riyadh, Arab Saudi pada bulan Ogos 2022.


Sama cantik Permaisuri Rania dan bakal menantunya, Rajwa Khaled. - Gambar Instagram QUEEN RANIA

Tarikh perkahwinan

Majlis perkahwinan berlangsung pada 1 Jun 2023 di Jordan.

Lokasi acara

Pada Mei lalu, diumumkan bahawa upacara perkahwinan agama akan berlangsung di Istana Zahran di Amman, manakala majlis resepsi akan diadakan di Istana Al Husseiniya. Perkahwinan Puteri Iman juga berlangsung di lokasi yang sama.

Latar belakang pengantin lelaki dan pengantin perempuan

Hussein yang lahir pada 28 Jun 1994 merupakan putera sulung Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania.

Putera Mahkota Jordan itu mempunyai tiga orang adik-beradik iaitu Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.

Hussein juga menyandang pangkat tertinggi dalam Angkatan Senjata Jordan dan pernah menyertai latihan ketenteraan di Unit Latihan Khas Raja Abdullah II.

Pada tahun 2014, beliau telah mendapat latihan daripada juruterbang Royal Jordan Air Force.

Putera Hussein merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sejarah Antarabangsa dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Sebelum melanjutkan pelajaran, beliau terlebih dahulu mendapat pendidikan di Akademi Perlindungan Sivil Putera Al Hussein Abdullah II, sebuah akademi yang menerapkan latihan disiplin yang unik dalam pendekatan sains untuk melindungi nyawa dan harta benda.

Selain daripada tugas rasmi, gambar-gambar di media sosial beliau turut memperlihatkan sisi lain keperibadian putera diraja ini termasuk kerja-kerja amal selain rakaman berdsama keluarganya termasuk bersama ibu dan bapanya.

Permaisuri Rania juga sering berkongsi foto-foto keluarga di Instagram peribadinya.

Sementara, bakal pengantin perempuan, Rajwa Khaled dilahirkan di Riyadh pada 28 April 1994.

Beliau mendapat pendidikan di Arab Saudi sebelum melanjutkan pengajian di Fakulti Senibina Universiti Syracuse di New York, mengikut laporan media.

Beliau juga bekerja di sebuah firma seni bina di bandar tersebut.

Dari kiri Permaisuri Rania, Rajwa Khaled, Hussein dan Raja Abdullah II. - Gambar Instagram QUEEN RANIA