GEORGE TOWN: Panduan Michelin akan mengumumkan restoran terkini dalam senarainya, sekali gus mendedahkan sebahagian daripada tambahan kepada panduan itu sebelum majlis pendedahan (senarai restoran) tahunannya.

Pengarah Komunikasi Michelin Experiences, Elisabeth Boucher-Anselin berkata pengumuman pada Jun itu, akan melibatkan restoran di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Pasukan pemeriksaan telah secara kolektif memutuskan iaitu sebelum Majlis Panduan Michelin 2024, untuk mengumumkan restoran terpilih global baharu di Malaysia, kami akan mengeluarkan penemuan terkini dan terbaik para pemeriksa.

"Kami tidak mahu menunggu hingga habis setahun untuk mendedahkan dapatan pasukan pemeriksa. Kami mahu memberitahu bahawa restoran terbabit hebat iaitu kami pastinya akan mempertimbang untuk menjadi sebahagian daripada Panduan Michelin," katanya kepada pemberita dalam temu bual secara dalam talian baru-baru ini.

Beliau berkata dapatan baharu itu membuka peluang untuk mengetengahkan industri restoran Malaysia serta menyokong restoran baharu.

Katanya dapatan itu didorong oleh penemuan para pemeriksa yang menyembunyikan identiti mereka di lapangan.

"Kami tidak akan mendedahkan sama ada ia restoran dengan bintang, bib gourmand atau bintang hijau satu, kami mahu mengetengahkan tempat ini," katanya.

Selain itu beliau berkata kesemua restoran dalam pemilihan 2024 akan dinilai oleh pemeriksa berdasarkan lima kriteria iaitu kualiti bahan, penguasaan teknik memasak, keharmonian rasa, penzahiran personaliti chef dalam hidangan dan kekonsistenan berdasarkan masa dan pada seluruh menu.

Beliau menambah kesemua penilaian dan anugerah khas berkaitan pemilihan restoran terbaharu akan didedahkan secara eksklusif pada majlis tahunan, selain dipromosikan pada laman rasmi dan aplikasi mobil Panduan Michelin.

"Kami harap pendedahan dan pengemaskinian secara tetap ini akan mewujudkan keterujaan dan memberi peluang kepada pencinta makanan Malaysia untuk terus menyokong profesion ini dan kami mengajak semua untuk mencuba restoran-restoran tersebut," katanya.

Panduan Michelin mengumumkan pemilihan pertamanya bagi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang 2023 Disember lepas, melibatkan 97 restoran meliputi 20 jenis hidangan termasuk empat restoran dengan satu bintang Michelin. - BERNAMA