KUALA LUMPUR: Bagi wanita yang baru melahirkan anak, sudah pasti mereka mahukan penjagaan kesihatan yang mampu memulihkan keadaan fizikal dan mental terutamanya sepanjang tempoh berpantang.

Ia boleh dikatakan proses 'eksklusif' untuk memulihkan diri termasuk 'membaiki' segala kerosakan dalam tubuh, antaranya akibat kehilangan darah, pengecutan rahim, mengendurkan semula urat saraf yang tegang selain mengembalikan keseimbangan hormon.

Peredaran masa menyaksikan tradisi berpantang turut melalui evolusi, dan kini, ia bukan lagi menjadi tanggungjawab ahli keluarga seperti ibu sendiri atau ibu mentua untuk menjaga anak atau menantu yang baru bersalin.

Mereka yang berkemampuan mempunyai pilihan berpantang di rumah dengan bantuan penjaga bertauliah atau menjalani proses itu di pusat penjagaan ibu berpantang yang semakin banyak beroperasi kerana permintaan yang tinggi. Kos untuk berpantang di pusat penjagaan ini mungkin boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Berkongsi pengalaman, suri rumah Fara Liyana Idris yang juga ibu kepada tiga orang anak berkata, ada perbezaan yang ketara antara berpantang sendiri di rumah dan di pusat penjagaan.

"Ketika melahirkan anak pertama empat tahun lepas, saya memilih untuk berpantang di rumah. Walaupun mak mentua dan mak saya sendiri datang tolong, saya tidak boleh duduk diam kerana ada sahaja kerja rumah yang saya hendak siapkan, sehinggakan ada masa saya mengalami sakit-sakit badan.

"Kemudian, semasa mengandungkan anak kedua, dua tahun lepas, saya putuskan untuk berpantang di pusat penjagaan ibu berpantang bertaraf hotel lima bintang selama sebulan. Pusat ini menyediakan penjagaan penuh sepanjang di situ dan saya tidak perlu membuat sebarang kerja berat, sebaliknya hanya tumpukan kepada proses memulihkan diri," katanya kepada Bernama.

Berpuas hati dengan pengalaman itu membuatkan Fara Liyana, 32, mendapatkan khidmat serupa selepas melahirkan anak ketiga pada Ogos lalu, dan kali ini dia memilih untuk "berpantang" selama 44 hari di NARQES Wellness and Confinement Centre.

"Selain bayi dijaga oleh bidan dan jururawat bertauliah di sini, kami turut dijaga seperti seorang 'puteri' apabila diberi makanan berkhasiat khusus untuk berpantang selama enam kali sehari, selain urutan tradisional seperti bertungku daripada tukang urut profesional.

"Selain itu, suami dan anak-anak juga dibenarkan tinggal di sini, diberi layanan yang sama seperti hotel lima bintang di luar sana. Malah saya tidak perlu buat kerja rumah seperti memasak dan membasuh baju kerana segalanya terjaga sepanjang tempoh berpantang. Secara keseluruhan kami sangat berpuas hati," katanya.


PENJAGAAN FIZIKAL, MENTAL

Buat kebanyakan ibu berpantang, menjadi amalan biasa untuk mereka menumpukan perhatian terhadap penjagaan fizikal terutamanya bagi mengembalikan bentuk badan asal sebelum hamil. Antara yang dilakukan termasuk bertungku, urutan tradisional, pengambilan jamu dan mengambil makanan berkhasiat sepanjang tempoh berpantang.

Bagaimanapun, setiap rawatan dan prosedur berpantang perlu dijalankan secara sistematik dan teratur bagi mengelakkan sebarang kemudaratan seperti jangkitan kuman pada luka dan pendarahan teruk selain turut menjejaskan kesihatan mental ibu berpantang.

"Tekanan emosi juga boleh berlaku yang menyebabkan ibu baharu bersalin mengalami kemurungan dan kegelisahan.

"Tanpa bimbingan dan sokongan, ibu berkenaan mungkin menghadapi masalah dengan penyusuan yang membawa kepada masalah seperti bekalan susu yang tidak mencukupi atau mastitis (pembengkakan tisu payudara yang disebabkan oleh jangkitan atau susu yang tersisa pada tisu susu) , " katanya sewaktu menjadi ahli panel dalam forum bertajuk 'Ketenangan Minda Ibu Berpantang: Pusat Jagaan Sebagai Pemulihan Mental dan Fizikal' bersempena dengan perasmian NARQES Wellness dan Confinement Centre cawangan Alam Damai, Cheras di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kebanyakan 'wanita yang pertama kali melahirkan anak' sangat mengharapkan ahli keluarga untuk menjaga mereka di rumah kerana tidak ada pengalaman untuk menguruskan bayi dan juga diri.

"Namun, kadangkala jika yang menjaga itu tidak ada pengalaman dan tidak kena pada caranya ataupun terlepas pandang, ia boleh mendatangkan mudarat kepada si ibu.

"Antara kesilapan biasa dilakukan ialah meremehkan tempoh pemulihan dan ramai ahli keluarga beranggapan bahawa ibu bersalin akan cepat sembuh selepas bersalin.

"Bagaimanapun, tempoh pemulihan boleh mengambil masa berminggu-minggu bahkan ada yang berbulan-bulan, malah turut memberi kesan kepada tubuh badan pada jangka masa panjang (jika tidak kena cara penjagaan). Justeru, tempoh masa itu amat penting untuk penyembuhan," katanya.

Ketika menjawab soalan daripada hadirin tentang sikap sesetengah ibu bapa, khususnya dalam kalangan generasi Z, yang tidak lagi mengutamakan proses berpantang kerana dianggap membazir masa, Dr Nor Ashikin berkata: "Kita bernasib baik kerana berpantang masih diamalkan dalam kalangan masyarakat Asia berbanding di negara barat yang rata-rata tidak lagi mengutamakan tempoh penjagaan selepas bersalin.

"Namun demikian, penting untuk pasangan muda yang baru menjadi ayah dan ibu untuk mendapat pendidikan serta kesedaran betapa pentingnya penjagaan selepas bersalin bagi memulihkan kesihatan terutama tempoh berlaku perubahan hormon yang tinggi," katanya.

Dr Nor Ashikin turut menasihati pasangan yang sedang merancang untuk mendapatkan zuriat agar mengamalkan pemakanan berkhasiat dan gaya hidup sihat, kerana segalanya bermula dengan perut.

"Jika apa yang kita makan tidak melalui proses pencernaan dengan baik, maka badan tidak dapat menghasilkan 'hormon gembira' yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental," katanya.


KESIHATAN MENTAL

Dr Nor Asikin menekankan, lazimnya ketika proses berpantang, ibu ataupun penjaga terlalu fokus kepada penjagaan badan sehingga ada kalanya mengabaikan kesihatan mental.

Keadaan ini berlaku kerana kemurungan serta kebimbangan selepas bersalin adalah perkara biasa, tetapi selalunya keluarga tidak mengenali tandanya dan gagal untuk mendapatkan bantuan.

"Kemurungan dan ketidakstabilan emosi ketika proses berpantang adalah normal, kadangkala ibu berpantang boleh menjadi stres jika mereka tidak mempunyai susu badan yang mencukupi ataupun bayi asyik menangis walaupun cuba sedaya upaya untuk menjaga mereka.

"Namun jika ia berlarutan sehingga berbulan-bulan, maka mereka perlu berjumpa dengan kaunselor ataupun pakar untuk bantuan psikologi," katanya.

Perunding Psikologi Klinikal dan Felo Pusat Ekonomi dan Pengajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Khairul Azhar Idris berkata, kemurungan postnatal atau selepas bersalin, atau juga dikenali sebagai kemurungan postpartum (PPD) adalah keadaan kesihatan mental yang serius dan boleh menjejaskan sesetengah individu selepas melalui proses kelahiran bayi.

Menurut beliau, ia bukan sekadar kes baby blues, iaitu perasaan sedih dan perubahan perasaan tidak menentu yang biasa dialami oleh kebanyakan ibu baharu dalam tempoh beberapa hari ataupun minggu pertama selepas bersalin.

"Sebaliknya kemurungan selepas bersalin boleh berterusan dan menjadi teruk sehingga berminggu-minggu ataupun berbulan-bulan jika tidak mendapatkan rawatan kaunseling daripada pakar.

"Walaupun penyebab sebenar kemurungan selepas bersalin masih lagi tidak dapat difahami sepenuhnya, gabungan faktor fizikal, emosi, dan gaya hidup boleh menyumbang kepada masalah ini.

"Hal ini termasuklah perubahan hormon, kurang tidur, tekanan, sejarah masalah kesihatan mental dalam keluarga, pekerjaan dan pelbagai faktor sosial dan persekitaran yang lain," katanya.


PUSAT BERPANTANG PATUH SYARIAH

Bagi memastikan penjagaan kesihatan secara seimbang dari segi fizikal dan mental ketika berpantang, kini ramai ibu selepas bersalin memilih untuk menginap di pusat penjagaan ibu yang menawarkan pakej berpantang yang memberi peluang kepada mereka mendapatkan rehat secukupnya tanpa perlu bimbang perkara lain.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan NARQES Wellness Confinement Centre Datin Narqes Mohd Raimi, antara faktor yang mendorong beliau menawarkan khidmat berkenaan kepada ibu selepas bersalin ialah kesedaran bahawa penjagaan kesihatan bukan hanya pada tubuh badan mereka, tetapi juga terhadap bayi dan seisi keluarga.

"Di rumah, penjagaan selalunya tidak formal dan bergantung kepada bantuan keluarga atau pembantu rumah. Ada kalanya cara tradisional yang mungkin generasi tua ingat (masih) berkesan pada masa sekarang tidak dapat diterima oleh generasi sekarang kerana dikatakan sudah ketinggalan zaman.

"Sebaliknya di NARQES Confinement Centre, kami menyediakan persekitaran serta rutin harian yang lebih tersusun dan mematuhi syariah, jadi ibu boleh berehat dengan lebih tenang dan selesa tanpa perlu risau akan kerja rumah sepertimana jika mereka berpantang di rumah," katanya.

Beliau menambah, selain menyediakan penjagaan selepas bersalin secara tradisional Melayu oleh golongan bertauliah, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan membasuh baju, mengemas rumah dan memasak.

"Di sini juga makanan berkhasiat disediakan sebanyak enam kali sehari, persalinanan pakaian bersih serta bilik tidur dikemas setiap hari.

"Servis pengawasan bayi 24 jam juga disediakan dengan bantuan jururawat bertauliah. Oleh itu, ibu boleh fokus kepada diri sendiri dan bayi di samping berada di persekitaran yang lebih tenang,

"Selain itu, kami turut menghidangkan makanan selepas bersalin yang disediakan khas untuk menyokong pemulihan badan, termasuk hidangan seimbang berdasarkan amalan tradisional serta diolah mengikut kesesuaian dan keperluan kesihatan setiap ibu," katanya.

Dengan sokongan kakitangan profesional yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman, wanita terutamanya mereka yang pertama kali bergelar ibu dapat menarik nafas lega sekiranya mengalami kesukaran untuk menguruskan bayi.

"Paling penting, anda tidak akan berasa tertekan dengan perkara tersebut dan boleh memberi fokus untuk memulihkan kesihatan tubuh.

"Persekitaran serta rutin harian ketika berpantang juga lebih tersusun dan teratur sekali gus membolehkan anda berehat dengan lebih tenang dan selesa," katanya.

NARQES Confinement Centre menyediakan lima jenis pakej berpantang bermula dengan pakej tujuh hari sehingga 44 hari dengan harga berpatutan bermula dari RM5,000.

"Selain layanan bertaraf hotel lima bintang yang menawarkan pakej urutan tradisional, ibu berpantang juga dapat menikmati kemudahan spa dan khidmat nasihat penyusuan bayi sepanjang penginapan mereka bersama kami," katanya. - BERNAMA / Soon Li Wei