Penyakit diabetes di negara ini dilihat semakin kronik berikutan jumlah penghidap penyakit yang boleh membawa maut itu kini melangkaui jumlah jangkaan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, kementerian menjangkakan satu daripada lima golongan dewasa termasuk mereka berumur 18 tahun di Malaysia berdepan masalah diabetes menjelang 2020.

Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila ia berlaku lima tahun lebih awal dan kini 3.5 juta rakyat di negara ini menghidap penyakit kronik itu.

"Apa yang lagi membimbangkan, hampir 50 peratus daripada penghidap diabetes iaitu seramai 1.8 juta pesakit berhadapan masalah ini tanpa disedari.

"Ramai yang tidak sedar menghidap diabetes berikutan tiada tanda-tanda awal yang ditunjukkan bagi penghidap penyakit itu dan kebanyakan mereka (pesakit) juga didapati tidak membuat saringan lebih awal," katanya.

Bercakap selepas merasmikan Persidangan Pendidik Diabetes Malaysia 2017, Dr Noor Hisham berkata amalan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan karbohidrat dan gula berlebihan adalah faktor utama penyumbang diabetes dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, jumlah penghidap diabetes akan bertambah dua kali ganda sekiranya pencegahan tidak dilakukan lebih awal.

"Justeru, sekarang ini kita sangat agresif dalam memberi kesedaran, pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai penyakit ini dan kita juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendidik masyarakat.

"Apa yang paling penting ialah masyarakat perlu mendapatkan saringan kesihatan kerana jika seseorang disahkan menghidap diabetes lebih awal, kita boleh memberi rawatan dan mengawal penyakit tersebut daripada komplikasi penyakit lain yang lebih buruk seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok," katanya.

Persidangan tahunan anjuran Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) sejak 2012 bertujuan memperkukuhkan jalinan kerjasama pelbagai pihak untuk mengekang peningkatan penghidap diabetes di negara ini.

-- BERNAMA