GAYA HIDUP
Selepas Everest, Magendran rancang tawan Gunung Fuji pada usia 62 tahun

Usianya yang mencecah 62 tahun tidak menghalang Magendran untuk terus aktif, malah beliau semakin bersemangat meneroka cabaran baharu dalam dunia pendakian. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA: Datuk M. Magendran yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menawan puncak Gunung Everest pada 1997, kekal aktif dalam dunia pendakian dan kini bercadang menawan Gunung Fuji di Jepun tahun depan.
Ringkasan AI
- Datuk M. Magendran, rakyat Malaysia pertama menawan Everest pada 1997, kekal aktif dalam dunia pendakian dan merancang mendaki Gunung Fuji di Jepun tahun depan bersama anaknya, selepas percubaan pertama lima tahun lalu tidak sampai ke puncak.
- Beliau mengekalkan kecergasan melalui aktiviti fizikal berkala dan menganggap pendakian sebagai ruang menyegarkan jiwa, menguji mental serta mengekalkan disiplin dalam kehidupan.
- Magendran berkongsi bahawa kejayaan menawan Everest menjadi inspirasi kepada anak muridnya, dan beliau sendiri menjadikan semangat mereka sebagai motivasi utama dalam setiap pendakian.
"Tahun depan, saya merancang untuk mendaki Gunung Fuji yang sememangnya berada dalam senarai impian saya, selain Gunung Agung di Bali, Indonesia dan trekking di Nepal," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas program Perjumpaan Pendaki dan Pengembara 2025 di sini, baru-baru ini.
Beliau yang berasal dari Selangor, berkata mendaki bukan sekadar aktiviti fizikal tetapi ruang untuk menyegarkan jiwa, menguji kekuatan mental dan mengingatkan dirinya bahawa disiplin serta ketahanan adalah kunci untuk terus relevan dalam apa jua fasa kehidupan.
Magendran yang merupakan pesara guru, berkata misi mendaki Gunung Fuji tahun depan bersama-sama anaknya adalah yang kedua selepas percubaan pertama lima tahun lalu hanya sampai separuh jalan kerana mengiringi pelajar sekolah.
"Ketika itu niat bukan untuk sampai di puncak sebab ada bawa pelajar sekolah. Jadi, hanya pergi sampai separuh jalan kerana kesuntukan masa memang tak rancang sampai atas," katanya sambil menambah ketika itu sudah memasang impian untuk kembali.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata beliau mengekalkan kecergasan dengan sentiasa aktif melalui aktiviti fizikal seperti berjalan, berjoging dan melakukan latihan ringan.
"Untuk membina stamina, perlu sentiasa berlatih. Semakin hampir tarikh pendakian, latihan perlu lebih kerap. Sebagai persediaan untuk ke Fuji, saya pergi 'trekking' di kawasan berdekatan rumah setiap minggu kerana terdapat kawasan berbukit di situ," katanya.
Baginya, kepenatan dan rasa ingin berhenti adalah lumrah, namun kepuasan menjejakkan kaki di puncak menjadikan pendakian satu pengalaman yang sukar ditinggalkan.
"Tak tahu nak cakap, tapi memang seronok. Walaupun sangat letih, tetapi apabila sampai di puncak, perasaan itu lain sama sekali. Perasaan itu satu, yang kedua mendaki ini sebenarnya untuk kita nak tahu stamina kita setakat mana," katanya.
Mengimbas kembali kenangan menawan puncak Everest bersama-sama Datuk N. Mohanadas menerusi Malaysia-Everest Project 97, Magendran berkata kejayaan tersebut kekal segar dalam ingatan kerana ketika itu aktiviti pendakian masih asing dalam kalangan rakyat.
Katanya pengalaman itu cukup peribadi kerana beliau membawa semangat anak muridnya, selain mahu membuktikan nasihat tentang rajin dan tidak berputus asa yang sering diberikan kepada pelajar turut diamalkan dalam dirinya sendiri.
"Apabila berjumpa semula dengan mereka (pelajar), saya beritahu mungkin apa yang saya lakukan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada anda semua untuk terus berjaya. Tetapi semasa saya mendaki, sebenarnya anda (pelajar) adalah inspirasi saya.
"Itu yang menjadi motivasi saya untuk teruskan pendakian. Saya mahu berdiri di hadapan anak murid sebagai seorang yang berjaya sampai ke puncak. Sebab itu bila bertemu mereka, saya katakan anda semua yang beri motivasi kepada saya, dan kini kejayaan itu pula menjadi dorongan untuk anda berusaha," katanya.
Sementara itu, program Perjumpaan Pendaki dan Pengembara 2025 itu meraikan 20 pendaki yang menamatkan ekspedisi Trans-Titiwangsa V6 selama 65 hari yang berakhir Jun lalu, iaitu rekod pendakian terpanjang di Asia Tenggara.
Majlis itu dianjurkan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar bersama-sama dua ikon pendaki negara iaitu Mohd Khafiz Bachok, pendaki kedua Malaysia menawan Gunung K2, dan Pendaki Solo Malaysia Mohd Noor Mat Amin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami