EKONOMI global telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa sepanjang pandemik.

Di Malaysia, kerajaan meramalkan ekonomi negara dijangka pulih pada tahun ini berdasarkan aktiviti dalam beberapa sektor ekonomi termasuk pembuatan, perkhidmatan serta pertanian.

Bagaimanapun, memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, selagi sempadan antarabangsa ditutup, agak sukar untuk negara mempunyai pemulihan ekonomi sepenuhnya.

Tetapi Malaysia, katanya akan terus optimis dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022.

Persoalannya, bagaimanakah pemimpin di setiap negara boleh menghadapi cabaran daya tahan ini untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif?

Berikut laman web Forum Ekonomi Dunia (WEF) senaraikan tiga kunci kepada pemulihan pascapandemik yang berdaya tahan.


1. Pemimpin sektor awam, swasta jangan bersikap 'silo'

Menurut laporan web tersebut, pada masa ini, kekurangan buruh, peningkatan ekonomi digital, gangguan rantaian bekalan, inflasi serta ketidaksamaan - semuanya ditangani secara berasingan.

Penyelesaian yang dibuat terlalu khusus dibangunkan dalam 'silo' organisasi atau bekerja dalam komuniti sendiri.

Pendekatan sebegini tidak cukup untuk menangani isu saling kebergantungan yang wujud di antara kedua-dua sektor tersebut, dan trend jangka panjang yang lebih luas yang didorong oleh perubahan iklim, perkembangan masyarakat serta dinamika geopolitik.


2. Strategi, struktur direka untuk fleksibiliti dan kepantasan

Kepantasan adalah penting. Pandemik COVID-19, trajektori serta impaknya yang sentiasa berubah telah menunjukkan bahawa kita memerlukan maklumat yang lebih tepat pada masanya, agenda strategik terkini dan kitaran keputusan yang lebih singkat.

Pendekatan awal untuk menghentikan penyebaran, yang bertujuan menghapuskan virus sepenuhnya, kini sedang diteliti semula.

Apabila keadaan berubah, tindak balas perniagaan dan kerajaan juga perlu seiring. Untuk menghadapi ketidakpastian, organisasi perlu fleksibel dan sentiasa belajar.

3. Bina daya tahan masyarakat

Penyelesaian pertumbuhan yang benar-benar mampan dan inklusif melangkaui peningkatan prestasi perniagaan dan ekonomi.

Kita boleh membentuk agenda ketahanan bersama tetapi untuk melakukannya, dialog antara sektor awam dan swasta perlu dipergiatkan dengan segera.

Keputusan utama dan komitmen kewangan yang dibuat sekarang akan menentukan hala tuju sesebuah negara selepas pandemik.