MALAYSIA
RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 dibentang bagi bacaan kali pertama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang bertujuan menambah baik dan mereformasikan khidmat bantuan guaman, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ringkasan AI
- Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said bentang RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 untuk ganti Akta Bantuan Guaman 1971.
- RUU perkenal jawatan baharu Ketua Pembela Awam dan pegawai pembela awam, serta perluas khidmat guaman kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan.
- RUU juga tambah baik khidmat pendamping guaman dalam prosiding jenayah dan mungkin libatkan perbelanjaan tambahan kerajaan.
RUU itu juga bagi memperkenalkan dua nama jawatan baharu iaitu Ketua Pembela Awam dan pegawai pembela awam.
"Di bawah akta yang dicadangkan ini, mana-mana pun orang boleh dilantik sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Pembela Awam dengan syarat orang itu mempunyai kelayakan akademik dalam bidang undang-undang yang diiktiraf oleh kerajaan dan hendaklah mempunyai kemahiran praktikal, pengetahuan dan pengalaman dalam kepeguaman dan litigasi," menurut naskhah biru itu.
Pada masa ini, Ketua Pengarah dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Akta yang dicadangkan itu juga akan meluaskan khidmat pendamping guaman kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kerakyatan dan kewarganegaraan.
Dalam Bab 4 RUU itu menjelaskan khidmat pendamping guaman boleh disediakan bagi tujuan menasihati penjaga atau pelindung orang yang dibantu, mengenai perkara undang-undang yang timbul dari prosiding yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
Selain itu, khidmat pendamping guaman disediakan untuk mendapatkan maklumat yang berhubungan dengan pertuduhan terhadap mana-mana tertuduh dalam mana-mana prosiding jenayah yang orang yang dibantu itu merupakan mangsa.
"Khidmat pendamping guaman boleh disediakan bagi tujuan untuk mendampingi orang yang dibantu dalam mana-mana prosiding di mahkamah dan dengan kebenaran mahkamah untuk bercakap bagi pihak orang yang dibantu, jika perlu," menurut naskhah biru itu.
RUU itu akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan kepada yang amaunnya belum dapat ditentukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami