MALAYSIA
Polisi pendigitalan data sektor awam dirangka bagi agenda pembangunan teknologi

Menteri Digital Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Digital Negara (JDN) sedang merangka polisi pendigitalan data sektor awam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan teknologi baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ringkasan AI
- Menteri Digital Gobind Singh Deo umum JDN sedang rangka polisi pendigitalan data sektor awam yang dijangka siap hujung tahun ini.
- RMK13 turut gariskan penubuhan Bank Data dan Suruhanjaya Data untuk simpanan serta kawal selia perlindungan data kerajaan.
- Aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia akan dilancar sebagai pusat sehenti perkhidmatan digital kerajaan mulai tahun depan.
"Polisi ini dijangka siap pada hujung tahun ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata selepas usaha pendigitalan data itu dilaksanakan, aspek penyimpanan data juga akan menjadi keutamaan Kementerian Digital menerusi penubuhan Bank Data yang digariskan di bawah RMK13.
"Dalam pembentangan RMK13, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyentuh bahawa bank data akan diwujudkan bagi tujuan simpanan data, kementerian ini sedang merangka tindakan yang perlu untuk menjayakan agenda ini," katanya.
Gobind berkata Suruhanjaya Data juga akan ditubuhkan di bawah RMK13, selaku badan kawal selia bagi memastikan tadbir urus pematuhan piawaian serta keberkesanan perlindungan data kekal selamat, telus serta berintegriti.
Bagi menambah baik sistem perkhidmatan digital kerajaan, beliau berkata Kementerian Digital akan melancarkan aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia sebagai pusat sehenti perkhidmatan digital kerajaan.
"Aplikasi ini mengintegrasikan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan secara berperingkat dengan MyDigital ID sebagai kunci masuk utama dan ia menawarkan pelbagai kategori perkhidmatan seperti paparan maklumat, semakan pembayaran dan permohonan.
"Integrasi dengan perkhidmatan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksana secara berperingkat mulai tahun depan hingga 2030," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami