BISNES
Nilai eksport sarung tangan getah cecah RM6 bilion dalam lima bulan pertama 2025 - Johari

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Nilai eksport sektor sarung tangan getah Malaysia mencecah RM6 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ringkasan AI
- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata nilai eksport sarung tangan getah capai RM6 bilion JanMei 2025 walau dikenakan tarif 19% oleh AS.
- Malaysia masih ada kelebihan daya saing berbanding Thailand dan China melalui ekosistem pengeluaran lengkap, kualiti tinggi dan pasaran pelbagai.
- RMK13 cadang projek strategik getah bernilai RM114.8 juta serta penambahbaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berasaskan produktiviti.
"Keadaan ini memberikan sedikit kelebihan daya saing kepada Malaysia berbanding dua negara pesaing utama tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Malaysia memiliki kelebihan daya saing dalam memasarkan sarung tangan getah antaranya adalah ekosistem pengeluaran yang lengkap, ekonomi skala, kualiti produk yang tinggi dan konsisten serta kepelbagaian pasaran bagi sarung tangan getah asli dan sintetik.
Selain itu, Johari berkata antara projek strategik dalam RMK13 yang dicadangkan adalah Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR), pembangunan sistem geospatial untuk pertanian pintar, serta pembangunan Sistem Digital Bersepadu untuk Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Getah.
Pembangunan Sistem Pendigitalan Data Biakbaka dan Platform Verifikasi Klon Getah, pembangunan teknologi penstabil lateks mesra alam, serta pembangunan fasiliti untuk reka bentuk sebatian getah pintar turut dicadangkan untuk menyokong industri kecil dan sederhana, katanya.
"Jumlah peruntukan yang dipohon bagi pelaksanaan projek-projek ini adalah sebanyak RM114.8 juta," katanya.
Beliau berkata pihaknya kini berada di peringkat akhir proses penambahbaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan dilaksanakan berasaskan produktiviti.
"Berdasarkan dasar baharu ini, pekebun kecil yang berusaha dan mencapai sasaran tahap produktiviti akan menerima imbuhan kewangan, manakala mereka yang tidak mengusahakan sepenuhnya milikan mereka tidak akan layak menerima sebarang insentif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami