Tidak ramai yang tahu cerita di sebalik tokoh hebat wanita yang kini menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain daripada sisi politik sepertimana yang ditampilkan selama ini.

Namun ketika hadir dalam program In Conversation with Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersempena Hari Wanita Sedunia, sosok itu membongkar rahsia pertemuan pertamanya dengan suami tercinta, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya membawa kepada penyatuan mereka ke jenjang pelamin.

Dalam temu bual yang dihoskan oleh Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Wan Azizah secara spontan berkongsi cerita lama beliau ketika pertemuan tersebut.

“Tanpa pengetahuan saya, Anwar pernah melihat gambar saya, ketika itu, saya salah seorang yang belajar Bahasa Arab di Federation of Student Islamic Societies (FOSIS) in England & Ireland.

"Salah seorang kawan kami menyatakan bahawa mungkin kita boleh bertemu. Pada masa itu, Anwar dipilih sebagai salah seorang pemimpin belia untuk pergi ke Iran.


"Saya baru lepas on call dan kami berjumpa, di hospital. Bagaimanapun, lepas itu, dua minggu hilang. Ingatkan takda apa-apa dah.

"Namun, lepas pada itu, dia hantar keluarga untuk melamar,” kongsi beliau sambil ketawa mengingati detik-detik manis tersebut.

Jelasnya, antara yang membuatkan dia tertarik dengan diri Anwar ketika itu ialah semangat yang dimiliki oleh beliau yang mahukan anak bangsa maju dan menjadi orang berguna dan menyumbang kepada negara Malaysia tercinta.


Menceritakan tentang kisah hidupnya, salah satu kenyataan menarik dibuat beliau ialah, hidupnya banyak kejutan, tetapi latihan sebagai doktor banyak mengajarnya untuk jadi seorang yang tenang.

"Saya ditakdirkan berkahwin dengan Anwar Ibrahim. Dan, hidup saya banyak kejutan, lama-lama jadi kebiasaan. Namun, Alhamdulillah, setakat ini saya cuba.

"Dalam apa juga situasi, kita cuba menangani masalah, kerana saya pegang pada doa dan mohon agar tidak diuji lebih daripada apa yang saya dapat tanggung," katanya.