Warga emas berusia 88 tahun gigih menganyam tikar mengkuang

Zainab tetap gigih meneruskan kemahiran seni anyaman tikar mengkuang, walaupun bidang warisan itu semakin lenyap ditelan arus kemajuan.--fotoBERNAMA
CHUKAI: Seorang warga emas Zainab Abu Bakar, 88, dari Kampung Bukit Mentok dekat sini tetap gigih meneruskan kemahiran seni anyaman tikar mengkuang, walaupun bidang warisan itu semakin lenyap ditelan arus kemajuan.
Ringkasan AI
- Zainab Abu Bakar, 88 tahun, dari Kampung Bukit Mentok, gigih meneruskan kemahiran anyaman tikar mengkuang walaupun kemerosotan minat generasi muda, menyebabkan hanya beliau sahaja yang mengamalkan kemahiran tersebut.
- Anyaman tikar mengkuang memerlukan kegigihan, ketelitian, dan kesabaran tinggi, dengan Zainab memulakan proses seawal 4 pagi setelah melakukan pelbagai langkah termasuk mencari daun, membelah, melayur, merendam, mewarna, melurut, jemur, dan menganyam.
- Setiap tikar berukuran 2.29 meter panjang dan 1.37 meter dijual pada harga RM60 hingga RM70; namun, walaupun lima anak perempuannya memiliki kemahiran yang sama, mereka tidak berminat meneruskan kerja anyaman tersebut.
"Sebelum ini Kampung Bukit Mentok terkenal sebagai antara pusat pengeluaran tikar mengkuang di daerah ini apabila ramai penduduk setempat mengusahakan pekerjaan tersebut.
"Bagaimanapun pada masa ini hanya makcik seorang sahaja menganyam tikar mengkuang apabila golongan muda tidak lagi berminat menceburi kemahiran tradisional tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Mentok di sini hari ini.
Zainab yang mempunyai lima orang anak perempuan, 29 cucu, 58 cicit dan seorang cuit berkata proses anyaman tikar mengkuang memerlukan kegigihan, ketelitian serta kesabaran yang tinggi, kerana setiap peringkat kerja dilakukan secara manual dan mengambil masa untuk disiapkan bagi memastikan hasilnya kemas dan berkualiti.
Zainab berkata dia memulakan kerja dengan mencari dan memilih daun mengkuang, membelah daun, melayur, merendam, mewarna, melurut daun, jemur serta menganyam.
"Kesemua kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri sambil dibantu oleh anak-anak dan cucu," katanya.
Zainab berkata dia yang tidak mempunyai masalah kesihatan memulakan kerja-kerja menganyam tikar mengkuang seawal 4 pagi.
"Makcik kebiasaannya tidur awal dan bangun awal pagi bagi memulakan kerja menganyam tikar, kerana lebih selesa melakukannya dalam keadaan cuaca sejuk.
"Bagaimanapun saya tidak menganyam tikar setiap hari, kecuali ada tempahan yang perlu disiapkan," katanya.
Zainab berkata beliau mengambil masa kira-kira lima hari iaitu bermula dari peringkat awal untuk menyiapkan sebidang tikar yang berukuran 2.29 meter panjang dan 1.37 meter.
Beliau berkata setiap bidang tikar mengkuang itu dijual pada harga antara RM60 hingga RM70 dan banyak tempahan diterima termasuk dari luar Terengganu.
Selain itu, beliau berkata lima anak perempuannya yang berusia 52 hingga70 tahun tidak berminat meneruskan kerjayanya tersebut walaupun mereka mempunyai kemahiran menganyam tikar mengkuang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


