Skip to main content

Malaysia

Tiga wanita didenda RM5,000 curi kabel Telekom Malaysia

Tiga wanita didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa berhubung kes curi kabel TM. Foto Sinar Harian, ROSLI TALIB
Tiga wanita masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bulan lepas. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Tiga wanita masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bulan lepas.

Nurul Aleeya Aneesya Abd Razak, 23, Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22 dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Advertisement

Ketiga-tiga tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, tiga wanita itu didakwa dengan niat bersama mencuri kabel milik TM di Seksyen 3, di sini kira-kira 5 pagi pada 20 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Sementara itu, Mohammed Arif Sharif, 25, dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, didenda RM250 atau dua bulan penjara atas kesalahan bersama memiliki alat-alat kegiatan mencuri tanpa alasan munasabah di Seksyen 7 di sini, pada 12.08 tengah malam, Ahad lepas (1 Mac).

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi.

Kelima-lima tertuduh merupakan sebahagian daripada sembilan warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di beberapa negeri kerana dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel di Seksyen 3, di sini dua minggu lepas.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata semua suspek berusia 19 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Dengkil, Selangor; Sungai Petani, Kedah; serta Ipoh, Perak dari 23 hingga 26 Feb.

Beliau berkata penahanan itu menyelesaikan kes serupa yang dilaporkan berlaku di Jinjang, Kuala Lumpur serta Kupang dan Padang Serai, Kedah.

-- BERNAMA

Must Watch Video